DUNIA > BERITA

CHINA SARAN KOMUNITI ANTARABANGSA TINGKATKAN SINERGI, PERCEPAT PEMBANGUNAN WANITA

14/10/2025 03:40 PM

BEIJING, 14 Okt (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping menggesa komuniti antarabangsa agar meningkatkan sinergi, memperluas kerjasama dan melaksanakan tindakan konkrit bagi mempercepat pembangunan wanita secara menyeluruh.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Wanita Sedunia di sini pada Isnin.

Dalam ucapannya, Presiden Xi turut mengemukakan beberapa cadangan bagi mempercepat kemajuan wanita serta mengumumkan beberapa langkah baharu untuk menyokong pembangunan golongan terbabit di peringkat global.

Wakil pelbagai negara yang menghadiri sidang kemuncak berkenaan menyambut baik  cadangan dan saranan yang dikemukakan  China, sambil menyifatkannya sebagai hala tuju penting bagi memajukan agenda pembangunan wanita antarabangsa serta menjadi teladan kepada negara lain.

Pengarah Wilayah UN Women bagi Asia Pasifik, Christine Arab berkata komitmen Presiden Xi jelas diterjemahkan melalui tindakan konkrit dan wajar dicontohi oleh kerajaan-kerajaan lain.

Dalam pada itu, Presiden Xi mengumumkan bahawa China akan memperuntukkan dana sebanyak US$100 juta kepada  Tabung Pembangunan Global dan Kerjasama Selatan-Selatan, bekerjasama dengan organisasi antarabangsa bagi mempromosikan projek pembangunan wanita dan kanak-kanak perempuan, serta menubuhkan Pusat Pembinaan Keupayaan Wanita Global bagi membantu negara-negara membangun meningkatkan keupayaan dalam bidang itu.

Christine Arab menegaskan bahawa langkah komprehensif China itu amat signifikan dan wajar dipuji kerana memberi impak besar kepada kesejahteraan wanita di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan