DUNIA > BERITA

INDONESIA BERSIAP SEDIA HADAPI LONJAKAN PENUMPANG UDARA MUSIM CUTI

15/11/2025 06:20 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 15 Nov (Bernama) -- Indonesia bersiap sedia menghadapi musim cuti yang sibuk dengan lebih lima juta orang dijangka melalui lapangan terbang di seluruh negara semasa perayaan Krismas dan Tahun Baharu, ketika syarikat penerbangan berusaha memenuhi peningkatan mendadak dalam permintaan.

Kementerian Pengangkutan mengingatkan para penumpang supaya bersedia menghadapi terminal yang sesak dan barisan panjang, dengan 21 Dis dijangka menjadi hari kemuncak perjalanan Krismas manakala 3 hingga 4 Jan merupakan gelombang utama kepulangan.

“Jumlah penumpang dijangka meningkat tujuh peratus berbanding tahun lalu, mencecah 3.89 juta bagi penerbangan domestik dan 1.15 juta bagi penerbangan antarabangsa,” kata Ketua Pengarah Penerbangan Awam Lukman F. Laisa dalam kenyataan.

Bagi menguruskan permintaan, kerajaan dan syarikat penerbangan telah memperkenalkan insentif tambang sementara termasuk diskaun cukai nilai tambah (VAT) bagi tiket kelas ekonomi, pengurangan caj perkhidmatan lapangan terbang serta surcaj bahan api yang lebih rendah di 37 lapangan terbang.

Diskaun itu terpakai bagi tiket yang dibeli antara 22 Okt hingga 10 Jan, meliputi perjalanan dari 22 Dis hingga 10 Jan.

Pihak berkuasa penerbangan awam menganggarkan sebanyak 326 pesawat diperlukan, termasuk 286 pesawat jet dan 40 pesawat kipas bagi menampung peningkatan jumlah penumpang.

Lukman berkata syarikat penerbangan sedang berusaha memaksimumkan kapasiti, dengan 366 daripada 560 pesawat di Indonesia kini beroperasi manakala selebihnya dalam penyelenggaraan, menjadikan syarikat utama seperti Lion Air (97 pesawat), Garuda Indonesia (81) dan Wings Air (77) menanggung beban operasi.

Lapangan terbang utama termasuk Soekarno-Hatta di Jakarta, Ngurah Rai di Bali, Sultan Hasanuddin di Makassar, Kualanamu di Medan dan Juanda di Surabaya sedang bersiap sedia menghadapi pergerakan penumpang yang tinggi, terutama bagi laluan ke Kuala Lumpur dan Singapura.

Beliau menambah bahawa pusat pemantauan Krismas dan Tahun Baharu pihak berkuasa itu akan beroperasi dari 18 Dis hingga 4 Jan 2026 bagi memantau operasi di 257 lapangan terbang di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan