DUNIA > BERITA

CHINA SOKONG SEGALA USAHA BAGI LAKAR PENCAPAIAN DALAM COP30

20/11/2025 05:35 PM

BELEM 20 Nov (Bernama-CMG) -- China tidak berganjak daripada menyokong segala usaha yang kondusif bagi mencapai konsensus dalam bentuk dokumen pada Sesi ke-30 Persidangan Pihak-pihak Pemeterai (COP30) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim.

Demikian kata Utusan Khas China bagi Hal Ehwal Perubahan Iklim, Liu Zhenmin di sini pada Selasa.

Liu menyatakan lagi, ketidakhadiran Amerika Syarikat (AS) dalam persidangan itu  yang merupakan kali pertama dalam sejarahnya, adalah antara faktor-faktor utama yang menyebabkan persidangan kali ini menjadi lebih mencabar.

“Ketidakhadiran AS sebagai negara super besar dan juga negara maju yang terbesar, jelaslah membawa impak yang ketara dan menyeluruh terhadap proses kerjasama pelbagai hala bagi menghadapi perubahan iklim.

“Selain itu, ia juga menjadikan penyelarasan antara negara-negara maju terjejas. Sebahagian negara maju menyatakan bahawa mereka belum bersiap sedia untuk menampung kekosongan yang ditinggalkan akibat AS menarik diri daripada Perjanjian Paris. Ini bermakna bahawa tahap kesukaran bagi mencapai konsensus dalam bentuk dokumen yang berkualiti tinggi dalam persidangan kali ini melonjak.

"Delegasi China akan konsisten dalam mengeratkan kerjasama dengan Kumpulan 77, mendorong proses rundingan persidangan bagi membantu negara pengerusi Brazil untuk mencapai hasil positif dalam persidangan kali ini," kata Liu. 

Untuk rekod, persidangan yang sedang berlangsung di Brazil ini telah memasuki minggu kedua. Wakil-wakil dari pelbagai negara sedang mempercepat agenda rundingan mengenai isu-isu seperti pengurangan bahan bakar fosil.

– BERNAMA-CMG

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan