LUSAKA 21 Nov (Bernama-CMG) -- China bersedia untuk bekerjasama dengan Zambia dan Tanzania untuk memberi nafas baharu kepada Laluan Kereta Api Tanzania-Zambia, menggalakkan pembangunan di sepanjang landasan, dan mewujudkannya sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu.
Demikian ujar Perdana Menteri China Li Qiang semasa menghadiri majlis pecah tanah untuk projek Penghidupan Semula Laluan Kereta Api Tanzania-Zambia di sini pada Khamis.
Li berkata, Presiden China Xi Jinping pernah bersama dengan dua rakan sejawatnya, iaitu Presiden Hakainde Hichilema dari Zambia dan Presiden Samia Suluhu Hassan dari Tanzania, menyaksikan penandatanganan memorandum persefahaman mengenai projek Penghidupan Semula Laluan Kereta Api Tanzania-Zambia di Beijing pada bulan September 2024.
“Dalam tempoh lebih setahun lalu, jabatan dan perusahaan dari ketiga-tiga negara yang berkaitan telah bekerjasama mendorong pelaksanaan projek ini sehingga saat bermulanya pembinaan rasmi. China bersedia terus bekerjasama dengan Zambia dan Tanzania untuk memastikan Laluan Kereta Api Tanzania-Zambia sebagai projek ikonik dalam kerjasama China dengan benua Afrika, mendapat nafas baharu dan bersinar pada era baharu, sehingga mencetuskan momentum bagi pembangunan di Tanzania dan Zambia, malah seluruh Afrika.
China bersedia bekerjasama dengan pihak Zambia dan Tanzania mengambil peluang daripada projek penghidupan semula laluan kereta api ini untuk terus meningkatkan tahap kemudahan perdagangan dan pelaburan, menggalakkan sektor korporat memperbanyak akses pasaran dan industri, serta memangkin agenda pembangunan secara menyeluruh,” kata Li.
Turut hadir, Presiden Zambia Hakainde Hichilema dan Timbalan Presiden Tanzania Emmanuel Nchimbi.
Kedua-dua mereka menyifatkan Laluan Kereta Api Tanzania-Zambia sebagai satu mercu tanda dalam persahabatan tradisional yang dibina oleh pemimpin generasi lama ketiga-tiga negara.
Mereka berpendapat, projek penghidupan semula laluan kereta api ini menandakan ketiga-tiga negara China, Zambia dan Tanzania berganding bahu memperjuangkan matlamat pembinaan komuniti berkongsi nasib dan mencipta masa depan, dan juga mencerminkan persahabatan dalam kalangan rakyat sepanjang pelaksanaan skim pembangunan itu.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial