DUNIA > BERITA

HYT PERLUAS PRODUK HALAL MALAYSIA DI THAILAND MELALUI PASARAN DALAM TALIAN

21/11/2025 09:46 PM

BANGKOK, 21 Nov (Bernama) -- Penyedia kemudahan e-dagang rentas sempadan berpangkalan di Malaysia, HYT Cross Border Sdn Bhd (HYT), menyasarkan jualan sebanyak 23 juta baht bagi produk Malaysia susulan pelancaran program Pavilion Halal Malaysia di Thailand.

Pengarah Urusan HYT Datuk Danny Tan berkata ketika ini terdapat kira-kira 100 produk halal Malaysia tersenarai di platform pasaran dalam talian itu  dan jumlah produk  dijangka meningkat kepada sekitar 200 menjelang akhir tahun.

Beliau berkata HYT bekerjasama rapat dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melalui program eBizLink untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mengembangkan perdagangan rentas sempadan serta mencapai impak perniagaan yang ketara di Thailand.

“Kami menyasarkan jualan 23 juta baht (100 baht = RM12.77) dalam tempoh setahun, selaras dengan peningkatan ketersediaan produk halal Malaysia di Thailand,” katanya dalam temu bual bersama Bernama pada Jumaat.

Tan berkata program itu turut melibatkan pempengaruh dan pencipta kandungan Thailand, manakala produk Malaysia terpilih akan tersedia di platform Shopee dan TikTok.

“Ia merupakan platform untuk membawa produk, jenama, kreativiti dan peluang perniagaan Malaysia lebih dekat kepada pasaran Thailand,” katanya.

eBizLink ialah inisiatif Kerajaan Malaysia yang diuruskan oleh MATRADE untuk menyokong PKS menjadi pengeksport digital.

Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah melancarkan Pavilion Halal Malaysia di Bangkok.

Wan Zaidi berkata pavilion itu bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia melaksanakan eksport e-dagang.

“Dengan dunia perniagaan yang sedang melalui transformasi digital, terdapat peluang besar bagi perniagaan untuk berkembang di peringkat global dengan memanfaatkan penggunaan e-dagang,” katanya.

“Kerjasama strategik antara MATRADE dan HYT Cross Border dalam pameran produk hari ini memberi peluang kepada pengeluar dan PKS Malaysia untuk mengembangkan kehadiran mereka di seluruh Thailand melalui e-dagang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan