DUNIA > BERITA

PRESIDEN TURKIYE AKAN HUBUNGI PEMIMPIN RUSIA BINCANG MENGENAI UKRAINE

23/11/2025 10:18 PM

ISTANBUL, 23 Nov (Bernama-Anadolu) -- Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Ahad berkata beliau akan menghubungi rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin, pada Isnin untuk membincangkan usaha menghidupkan semula koridor bijirin Laut Hitam, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap kepada media di luar sidang kemuncak pemimpin Kumpulan 20 (G20) di Johannesburg, Afrika Selatan, Erdogan berkata: “Usaha kami berhubung koridor bijirin sebenarnya bertujuan membuka laluan ke arah perdamaian.”

“Saya percaya jika kita dapat menggerakkan proses ini, ia akan membawa manfaat yang besar,” tambahnya.

Ankara mula mengatur rundingan Rusia-Ukraine pada 2022 dan kemudiannya menjadi perantara perjanjian bijirin Laut Hitam untuk memudahkan eksport bijirin dan baja dari pelabuhan Ukraine ketika perang.

Rusia menggantung penyertaannya pada Julai 2023.

Mengenai konflik Sudan, presiden Turkiye itu berkata rakyat Sudan mahu Ankara memainkan peranan dalam menyelesaikan isu itu, sambil berikrar: “Di mana sahaja ada masalah, kami akan berada di situ.”

“Sama ada di Teluk, Sudan atau Somalia, kami menjadi sebahagian daripada usaha ini; mulai sekarang, kami akan terus bergegas ke mana-mana demi keamanan,” kata Erdogan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan