DUNIA > BERITA

TIADA RAKYAT MALAYSIA TERKESAN AKIBAT LETUSAN GUNUNG SEMERU DI JAWA TIMUR - KEDUTAAN

24/11/2025 11:15 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 24 Nov (Bernama) -- Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada Isnin berkata tiada laporan warganegara Malaysia yang terkesan akibat letusan Gunung Semeru di sempadan Kabupaten Lumajang dan Malang di Provinsi Jawa Timur.

Kedutaan turut menasihatkan mereka yang merancang untuk melakukan perjalanan ke bandar utama atau daerah berhampiran Gunung Semeru supaya memantau perkembangan terkini melalui media massa.

“Warganegara Malaysia perlu menyemak status perjalanan dengan syarikat penerbangan sekiranya berlaku sebarang perubahan mengejut melibatkan situasi ruang udara,” menurut kedutaan dalam kenyataan.

Pihaknya kini terus memantau rapat perkembangan Gunung Semeru yang telah meletus pada 19 November.

Menurut kedutaan, Badan Pengurusan Bencana Negara Republik Indonesia memfokuskan usaha bantuan di tiga perkampungan yang terkesan iaitu Supiturang dan Oro-Oro Ombo di Daerah Pronojiwo, dan Penanggal di Daerah Candipuro.

Badan Geologi Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Republik Indonesia pula mengekalkan status kesiagaan pada tahap tertinggi iaitu Tahap IV dan masih menjangkakan potensi letusan selanjutnya yang mungkin berlaku.

“Pemerintah Kabupaten Lumajang sebelumnya telah mengisytiharkan status darurat selama tujuh hari mulai 19 hingga 26 November,” kata kedutaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan