DUNIA > BERITA

"TOKYO GOV" CAPAI LEBIH 1.37 JUTA PENGIKUT MEDIA SOSIAL, PERLUAS CAPAIAN GLOBAL

07/12/2025 07:21 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Kerajaan Metropolitan Tokyo (TMG), menerusi saluran rasmi “Tokyo Gov”, telah mencapai lebih 1.37 juta pengikut di semua platform media sosialnya, menandakan pencapaian penting dalam usaha mempamerkan budaya, inovasi dan aspek keselamatan ibu kota Jepun kepada khalayak global.

Dalam satu kenyataan, TMG berkata peningkatan kehadiran media sosial itu mencerminkan minat antarabangsa yang semakin berkembang terhadap Tokyo, apabila kerajaan menggunakan platform berkenaan untuk berkongsi perkembangan mengenai inisiatif bandar, teknologi dan kehidupan harian, dengan matlamat meningkatkan keterlibatan khalayak global.

Antara inisiatif utamanya ialah SusHi Tech Tokyo, yang digambarkan sebagai persidangan inovasi terbesar di Asia, yang meneroka masa depan bandar mampan dan diadakan setiap tahun sekitar April dan Mei.

Bagi mempromosikan acara itu, sorotan-sorotan dikongsi menerusi Reels dan hantaran kolaboratif di akaun media sosial TMG di Facebook, Instagram, X (dahulunya Twitter), YouTube dan LinkedIn bersama pempengaruh antarabangsa, bagi menawarkan gambaran dinamik mengenai persidangan berkenaan.

“SusHi Tech Tokyo seterusnya dijadual berlangsung dari 27 hingga 29 April 2026. Acara ini akan menghimpunkan syarikat pemula, pelabur, pihak korporat, bandar raya dan pelajar dari seluruh dunia untuk bertukar pandangan dan bekerjasama mencari penyelesaian kepada cabaran bandar,” menurut kenyataan itu.

Dari segi daya tahan bandar raya itu, TMG turut mempromosikan inisiatif “Keselamatan untuk 100 Tahun Seterusnya”, termasuk kerjasama terbaharu dengan pempengaruh pelancongan “Yamatrips” bagi menghasilkan video di sebalik tabir sistem terowong bawah tanah raksasa Tokyo yang melindungi bandar itu daripada banjir.

“Tokyo Gov akan terus berkongsi kisah tentang usaha bandar raya ini melindungi penduduk dan pelawatnya. Nantikan lebih banyak perkongsian!” menurut kenyataan itu.

Di akaun Instagram rasminya, TMG turut menggalakkan penglibatan orang ramai melalui kempen #MyEdoTokyo, mengajak pengguna media sosial memuat naik foto bandar raya berkenaan.

“Tokyo hari ini menggabungkan warisan kekayaan Edo dengan inovasi termaju, mewujudkan sebuah bandar raya unik di mana sejarah bertemu masa depan,” menurut kenyataan itu sambil menjelaskan makna sejarah “Edo”, iaitu nama lama bagi Tokyo.

Hantaran terpilih daripada pengguna mungkin dipaparkan di akaun rasmi Instagram, X atau Facebook TMG.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Kerajaan Metropolitan Tokyo di Instagram (@tokyo_gov), Facebook dan X, serta saluran rasmi mereka di LinkedIn dan YouTube.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan