BEIJING, 8 Dis (Bernama-CMG) -- China merupakan rakan dagang terbesar Ghana dan pelaksanaan dasar tarif sifar antara kedua-dua negara diyakini mewujudkan persekitaran lebih kondusif untuk memperluas skala perdagangan, kata Presiden Ghana John Dramani Mahama.
"China kekal teman sejati Afrika. Saya percaya berdasarkan Inisiatif Jalur dan Laluan serta kerangka Forum Kerjasama Afrika-China (FOCAC), banyak projek infrastruktur bersifat transformatif dapat dilaksanakan di benua Afrika.
“Persahabatan kami dengan China kekal teguh sepanjang zaman kerana China konsisten menunjukkan solidariti dengan semua negara membangun dan tegas bertindak membela nasib negara-negara Selatan Global.
"Ini mewujudkan asas dan platform kukuh untuk kerjasama," katanya dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG).
Mahama menegaskan bahawa sikap solidariti China membolehkan negara itu memahami setiap rintihan negara membangun, sekali gus sedia menghulurkan bantuan.
Beliau juga menekankan nilai-nilai universal diamalkan Ghana selaras dengan China, khususnya dalam mendukung perjuangan negara-negara Afrika untuk memperoleh kerusi tetap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain sokongan berterusan Beijing terhadap pembangunan Afrika.
“Kedua-dua negara wajar menjadi sahabat yang saling memberi sokongan jitu tanpa henti.
“China memainkan peranan besar malah mencapai suatu dominasi dalam bidang tenaga hijau, transformasi industri tenaga, pendigitalan serta inovasi termasuk kecerdasan buatan.
“Justeru, saya percaya terdapat ruang lebih luas untuk memacu kerjasama baharu antara Ghana dan China. Malah, pelbagai negara boleh mengambil inspirasi daripada transformasi dan pembangunan China,” katanya.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial