KATHMANDU, 19 Dis (Bernama-dpa) -- Nepal membentangkan strategi lima tahun bagi mengekalkan kebersihan Banjaran Himalaya, sekali gus membolehkan pihak berkuasa buat kali pertama mengehadkan jumlah pendaki di puncak-puncak utama berdasarkan keadaan gunung dan infrastruktur sedia ada, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pelan yang dinamakan Pelan Tindakan Mengekalkan Kebersihan Gunung (2025–2029) itu bertujuan mengekang peningkatan sisa buangan dan kesesakan, namun peraturan serta kriteria khusus bagi pelaksanaan had berkenaan masih belum ditetapkan.
Sebelum ini, tiada had rasmi dikenakan ke atas puncak termasuk Gunung Everest, malah tidak dilaksanakan ketika tempoh pandemik COVID-19 apabila kebimbangan penjarakan fizikal mencetuskan gesaan supaya sekatan dikenakan dan banyak ekspedisi dibatalkan ketika pendakian sedang berlangsung.
Kaedah penguatkuasaan had juga masih tidak jelas, khususnya memandangkan permit pendakian Everest yang dikeluarkan Nepal meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, manakala dasar pendakian China di bahagian gunung itu pula tidak konsisten.
Pada musim bunga 2025, Nepal mengeluarkan 468 permit pendakian, tidak termasuk malim gunung yang tidak memerlukan permit, manakala hanya empat permit dikeluarkan bagi musim luruh.
Nepal, yang mempunyai ribuan puncak termasuk lapan daripada 14 gunung tertinggi di dunia, telah lama berdepan masalah sisa buangan yang ditinggalkan oleh pendaki.
Pakaian terbuang, but, silinder oksigen, plastik, bekalan perubatan pakai buang, tin makanan, tangga aluminium, tali, najis serta mayat pendaki yang terkorban telah terkumpul di kem-kem tinggi dan zon maut.
Kempen pembersihan secara individu oleh pihak berkuasa Nepal, tentera dan pelbagai organisasi telah dijalankan sejak awal 2000-an, namun penyelesaian kekal sukar dicapai.
Strategi baharu itu memperuntukkan pelaksanaan yang lebih berkesan terhadap peraturan sedia ada bagi mengawal jumlah sisa buangan.
Sejak 2011, pendaki diwajibkan membawa turun sekurang-kurangnya lapan kilogram sisa buangan bagi setiap individu semasa turun dari gunung.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial