MEXICO CITY, 25 Feb (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya 62 orang maut selepas keganasan tercetus pada Ahad susulan pembunuhan “El Mencho”, antara pengedar dadah paling dikehendaki di dunia, lapor Agensi Berita Xinhua.
Bercakap pada sidang media di Mexico City, Setiausaha Keselamatan dan Perlindungan Rakyat Mexico Omar Garcia Harfuch berkata mangsa yang maut termasuk 25 anggota Pengawal Kebangsaan, seorang pengawal penjara, seorang ejen pejabat pendakwa raya serta seorang wanita awam yang terperangkap dalam kejadian tembak-menembak. Sekurang-kurangnya 70 individu ditahan.
Beliau berkata keganasan itu bertujuan menghalang tugas pasukan persekutuan dan menjejaskan keselamatan awam serta pergerakan orang ramai.
Aktiviti harian di kawasan terjejas mula kembali normal pada Isnin hasil penyelarasan antara pihak berkuasa perbandaran, negeri dan persekutuan, katanya.
Nemesio Oseguera Cervantes, yang dikenali sebagai “El Mencho” adalah ketua Jalisco New Generation Cartel. Kartel itu beroperasi di lebih 20 negeri, menjadikannya antara kumpulan jenayah paling berkuasa di Mexico.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial