EKONOMI > BERITA

ETIQA PERKENAL PANEL PEMBAIKI BEBAS KENDERAAN ELEKTRIK PERTAMA DI MALAYSIA

23/09/2024 07:47 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Etiqa, cabang insurans dan takaful Malayan Banking Bhd (Maybank) mengembangkan perkhidmatannya kepada pemilik Kenderaan Elektrik (EV) dengan menjalin kerjasama dengan bengkel tambahan yang mengkhususkan dalam pembaikan EV.

Maybank Ageas Holdings Bhd dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan Etiqa melancarkan panel pembaiki bebas EV pertama di Malaysia, untuk mewujudkan rangkaian utama hab pembaikan EV di rantau ini.

Empat panel pembaiki bebas yang dilantik ialah Hoong Wai Auto Repairs, Poh Kin Motor Works, Rawang Yee Motor dan Shiun Motor.

“Bengkel ini akan memberikan sokongan penting kepada pelanggan yang jaminan pengilangnya telah tamat tempoh, serta mereka yang mempunyai model EV import kelabu (reconditioned), terutamanya untuk pembaikan perlanggaran dan perkhidmatan lain.

"Mereka juga akan menawarkan pelbagai perkhidmatan, daripada penyelenggaraan rutin hingga kepada pembaikan yang kompleks, memastikan pengalaman pemanduan yang lancar tanpa sebarang kebimbangan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurance and Takaful Kamaludin Ahmad berkata sebagai pengendali insurans dan takaful terkemuka yang memperjuangkan kelestarian, Etiqa komited untuk memacu inovasi dalam sektor EV.

“Sebagai penyedia insurans dan takaful EV terbesar di negara ini, kami komited untuk menawarkan perlindungan menyeluruh dan serta sokongan kepada pemilik EV. 

“Dengan pelancaran bengkel pembaikan yang fokus kepada EV ini, Etiqa kini dapat memastikan pelanggan kami menerima perkhidmatan pembaikan EV yang disesuaikan dengan keperluan unik mereka,” katanya.

Ketua Bahagian Tuntutan Etiqa, Muhammad Azlan Noor Che Mat berkata dengan permintaan terhadap kenderaan elektrik yang semakin meningkat, Etiqa menyasar untuk meningkatkan sokongan dan kepuasan pelanggan.

Beliau berkata, pengenalan panel pembaiki bebas untuk EV ini bukan bertujuan untuk bersaing dengan pembaiki francais, sebaliknya menyediakan penyelesaian alternatif kepada pelanggan.

“Dengan menggabungkan diagnostik canggih, latihan khusus, dan amalan mesra alam, bengkel ini menetapkan standard baharu dalam penyelenggaraan EV yang sejajar dengan komitmen Etiqa terhadap inovasi dan penjagaan alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan