EKONOMI > BERITA

PASARAN PUSAT DATA ASEAN CECAH US$11 BILION MENJELANG 2028 - MAYBANK IB

24/09/2024 02:03 PM

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pasaran pusat data ASEAN dijangka boleh mencecah US$11 bilion (US$1=RM4.20) menjelang 2028 berikutan ledakan permintaan pusat data global, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB) Bhd.

 Dalam laporan sektor Pusat Data ASEAN terbaharu bank penyelidikan itu, ia melaporkan firma-firma berasaskan ASEAN akan memperoleh nilai di bawah tiga keutamaan iaitu perbelanjaan modal pusat data (capex), perbelanjaan operasi pusat data (opex), dan capex pusat data global .

Peluang pendapatan boleh dijana daripada capex pusat data dalam bentuk hasil sebanyak US$3 bilion, US$6 bilion daripada opex pusat data dan US$3 bilion daripada capex pusat data global.

“Bukan semua hasil ini akan diraih oleh syarikat-syarikat yang berpangkalan di ASEAN/tersenarai kerana sebahagian besar daripada peluang tersebut akan direbut oleh syarikat teknologi global.

“Bagaimanapun, kami perhatikan bahawa syarikat ASEAN/tersenarai dalam rantaian bekalan pusat data/teknologi juga akan mendapat manfaat daripada lonjakan permintaan pusat data global,” katanya.

Selain itu, Maybank IB menyatakan Asia Tenggara telah muncul sebagai penerima utama 'China Plus One Strategy', yang mana perniagaan berusaha mengurangkan risiko yang berkaitan dengan kebergantungan sepenuhnya pada pasaran atau rantaian bekalan China.

Ia berpendapat kedudukan Asia Tenggara yang agak berkecuali dalam geopolitik turut akan membantu menarik pembinaan pusat data di rantau ini.

“Selain pengurangan risiko terjerat dalam sekatan teknologi serta peraturan lain, Asia Tenggara menawarkan persekitaran perniagaan yang mesra untuk firma China, berpunca daripada hubungan antara kerajaan yang agak baik.

“Sebaliknya, kerajaan dalam bidang kuasa lain yang condong ke Barat dilihat lebih berhati-hati untuk menerima pelaburan daripada firma teknologi China, memandangkan risiko keselamatan negara yang berpunca daripada dakwaan kaitan dengan kerajaan China,” katanya.

“Oleh itu, selain faktor seperti kelebihan kos, ketersediaan tenaga, kedekatan pengguna, faktor seperti kedaulatan/sensitiviti data juga memainkan peranan penting sambil mengenal pasti lokasi untuk mengehos data,” tambahnya. 

Maybank IB juga memberitahu geopolitik dalam infrastruktur kabel dasar laut sudah kelihatan dan mampu memberi kesan limpahan ke atas permintaan pusat data ASEAN.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan