EKONOMI > BERITA

LALUAN SIEM REAP-SINGAPURA AIRASIA CAMBODIA RANGSANG SEKTOR PENERBANGAN KEMBOJA

24/09/2024 04:09 PM

Daripada Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 24 Sept (Bernama) -- AirAsia Cambodia mengumumkan langkah strategik untuk melancarkan laluan baharu Siem Reap ke Singapura dengan menyasarkan peningkatan trafik penumpang akhir tahun yang akan membantu merangsang sektor penerbangan domestik.

Ini adalah pengumuman yang tepat pada masanya berikutan pergerakan pelancong, perniagaan dan komuniti ekspatriat di antara kedua-dua destinasi akan mencapai paras kemuncak menjelang akhir tahun manakala festival air tahunan popular Kemboja pada November akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan.

Laluan baharu dari Siem Reap ke Singapura bermula pada 9 Nov 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Cambodia, Vissoth Nam berkata perkhidmatan baharu itu akan menggalakkan ekonomi tempatan dan sektor pelancongan, antaranya mewujudkan pekerjaan dalam sektor hospitaliti yang penting.

“Sejak kami melancarkan perkhidmatan (operasi Kemboja) pada awal Mei 2024, kami melihat permintaan yang kukuh dan peluang besar untuk pertumbuhan di beberapa pasaran antarabangsa utama.

“Singapura adalah permulaan kepada beberapa destinasi baharu (dan) kami berminat untuk melancarkan laluan terus yang menghubungkan Phnom Penh ke Singapura tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.

Pengumuman laluan baharu itu dilaksanakan pada waktu penting ketika Kemboja mengembangkan infrastruktur lapangan terbangnya bagi menyokong perjalanan udara, yang akan berperanan penting dalam menjana pendapatan negara dan memacu sektor pelancongan.

Kerajaan mempunyai matlamat yang tinggi untuk mengubah Kemboja menjadi penggiat serantau yang terkemuka dalam sektor penerbangan dengan menambah baik kesalinghubungan domestik dan antarabangsa serta membuat pelaburan bernilai berbilion untuk membina infrastruktur utama.

Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap-Angkor, yang dibuka pada Oktober tahun lepas berupaya mengendalikan kira-kira tujuh juta penumpang.

Lapangan Terbang Antarabangsa Techo, yang terletak kira-kira 40 kilometer di luar Phnom Penh, menyasarkan untuk mengendalikan 13 juta penumpang apabila fasa pertama memulakan operasi pada awal 2025.

Mengulas mengenai pelancaran baharu itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aviation Group Bo Lingam berkata peningkatan kesalinghubungan perjalanan di rantau ASEAN telah menjadi tunjang kepada model syarikat penerbangan itu sejak ia mula beroperasi dengan hanya dua pesawat 22 tahun lepas.

“Laluan baharu terus ke Singapura ini menandakan permulaan strategi kumpulan yang lebih luas bagi menyokong pemulihan semula industri pelancongan dan era baharu perkhidmatan antarabangsa ke Kemboja dan dari Kemboja.

“Kami menjangka perkhidmatan terus kami ke Kuala Lumpur dan kini ke Singapura akan terus dikenali. Kami juga teruja dengan peluang tersedia melalui rangkaian meluas kami.

“Perkhidmatan Fly Thru kami yang terkenal, terutama ke China, Jepun, Australia,  India dan di luarnya, membolehkan lebih ramai yang terbang ke Kemboja dan dari Kemboja pada harga dengan nilai yang terbaik,” katanya.

Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) dalam kenyataan menekankan trajektori pertumbuhan yang optimis di pasaran penumpang udara antarabangsa.

Menurutnya inisiatif serantau untuk menggalakkan perjalanan terus membuahkan hasil positif, dengan kelonggaran dasar visa yang menyokong peningkatan ketara pelancong pada kemuncak cuti musim panas. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan