EKONOMI > BERITA

WORLDCOIN PERKENAL FASA PERINTIS PERKHIDMATAN BUKTI IDENTITI PERIBADI DI MALAYSIA

24/09/2024 08:12 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Worldcoin Foundation sedang memperluaskan ketersediaan perkhidmatan bukti identiti peribadinya untuk merangkumi fasa perintis atau pengujian beta di Malaysia.

Fasa perintis itu akan membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan World ID yang disahkan dan melindungi privasi, menyertai hampir tujuh juta orang yang menggunakan rangkaian Worldcoin hari ini.

World ID adalah pasport digital yang mengutamakan privasi, manakala Orb ialah peranti perkakasan yang mengesahkan pengguna adalah manusia dan bukannya bot atau program komputer.

Penggunaan teknologi seperti World ID adalah bertujuan untuk meningkatkan kepercayaan pengguna dalam talian dan memudahkan penggunaan dompet digital, dan yang lebih penting, tanpa mendedahkan data dan maklumat peribadi.

Fabian Bodensteiner, pengarah urusan Europe GmbH Worldcoin Foundation berkata keterbukaan Malaysia terhadap inovasi dan perkongsian dengan MY E.G.Services Bhd (MYEG) dan MIMOS Bhd merupakan sebab utama ia memilih negara ini sebagai pasaran pelancaran.

Beliau berkata World ID dijangka menjadi lebih berharga kepada perniagaan kerana liputan meluasnya di seluruh global.

“Tools for Humanity (TFH) membina dan menyokong teknologi pengimejan iris tercanggih yang digunakan untuk membuktikan identiti peribadi seseorang individu,” katanya kepada Bernama menerusi temu bual secara dalam talian, baru-baru ini.

Bodensteiner berkata Worldcoin ialah rangkaian yang menawarkan kaedah lancar untuk mengesahkan identiti manusia, membezakan individu daripada bot dan algoritma kecerdasan buatan (AI).

Beliau menjelaskan World ID ialah pasport digital atau sistem untuk mengesahkan bukti identiti peribadi tanpa perlu mengumpul pengecam peribadi seperti nama atau alamat emel.

Menurutnya, sistem itu mengutamakan privasi dengan tidak mengumpul atau menyimpan data pengenalpastian; sebaliknya menggunakan pengesahan biometrik melalui pengimejan resolusi tinggi iris mata seseorang.

"Orb ialah kamera canggih yang mengambil gambar iris dan merupakan antara peranti paling canggih untuk mengesahkan identiti peribadi," katanya.

Beliau berkata teknologi Orb dibangunkan sepenuhnya secara dalaman untuk memenuhi ciri-ciri privasi unik World ID.

"Kamera itu mengambil gambar resolusi tinggi, menukar data iris kepada kod yang boleh disahkan tanpa menghantar maklumat sensitif," katanya.

Bodensteiner berkata proses itu disokong oleh perisian sumber terbuka, dan syarikat tersebut sedang giat mencari rakan kongsi global untuk membantu mengembangkan penggunaan standard pengesahan ini.

 

Memasuki pasaran Malaysia

 

Menyentuh mengenai pasaran Malaysia, beliau berkata Worldcoin Foundation ingin bekerjasama dengan perniagaan yang mahu menggunakan teknologi ini untuk menawarkan faedah yang sama yang diterima pelanggan pada masa ini 'tetapi dengan pengumpulan data yang kurang ketara'.

“Banyak model perniagaan memerlukan pengguna memberikan data peribadi secara terperinci, kadang kala pasport, nama dan alamat mereka, hanya sekadar untuk menuntut tawaran tertentu atau mengakses kelebihan platform, bagi memastikan tiada penipuan.

“Bagaimanapun, apabila kami memasuki pasaran, kami menyasar untuk bekerjasama dengan lebih banyak perniagaan tempatan bagi membantu mereka meminimumkan data pengguna yang perlu mereka kumpul untuk memastikan model perniagaan mereka berfungsi,” katanya.

Bodensteiner berkata pendekatan ini akan memberi dorongan yang tinggi kepada rakyat Malaysia untuk mendaftar, kerana ia menawarkan keadah melindungi privasi untuk mengakses faedah tanpa perlu berkongsi banyak data peribadi kepada perusahaan.

 

Mengapa pilih Malaysia?

 

Walaupun banyak negara merancang melakukan pengembangan tahun ini, beliau berkata pendekatan berfikiran kehadapan Malaysia lebih menonjol.

“Saya menumpukan sebahagian besar masa saya di Malaysia, dengan Worldcoin Foundation bekerjasama rapat dengan MIMOS dan bagaimana kami bersama-sama meneroka bagaimanakah bentuk inovasi dalam bidang identiti digital,” kata Bodensteiner.

Pada Ogos, Worldcoin Foundation menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MIMOS, cabang penyelidikan dan pembangunan gunaan kerajaan Malaysia dan pemaju perkhidmatan e-kerajaan serta MYEG, untuk menyepadukan teknologi Worldcoin ke dalam infrastruktur digital Malaysia.

MoU itu bertujuan untuk memanfaatkan protokol Worldcoin dan teknologi TFH bagi meningkatkan kelayakan digital, menyokong kepentingan mengesahkan identiti manusia pada era kecerdasan buatan (AI) ini.

Selain itu, kerjasama tersebut juga akan meneroka pembuatan bersama Orb dan menghubungkan World Chain, blockchain baharu yang direka untuk disepadukan dengan protokol Worldcoin, kepada Infrastruktur Blockchain Nasional Malaysia.

Worldcoin Foundation akan memastikan teknologinya kekal sebagai sumber terbuka, manakala TFH akan menyediakan sokongan teknikal untuk Orb dan World App.

 

MYEG akan menumpukan kepada penyepaduan teknikal dan penggunaan perkakasan untuk menyokong inisiatif digital MIMOS.

 

Mengembangkan rangkaian bagi impak global

 

Bagi tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, Worldcoin akan menumpu untuk mengembangkan rangkaiannya sehingga ia mencapai tahap penggunaan meluas, sama seperti bagaimana PayPal atau WhatsApp yang menjadi lebih berguna apabila lebih ramai orang menggunakannya.

“Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun, perniagaan yang menggunakan World ID mungkin membayar yuran kepada rangkaian untuk mendapatkan perkhidmatan pengesahan.Yuran blockchain ini akan menyokong operasi dan pertumbuhan rangkaian.

“Pengembangan rangkaian kami penting untuk mengekalkan yuran yang rendah. Bagaimanapun, kami tidak menjual orb sebagai produk perindustrian; ia hanyalah peralatan dalam rangkaian,” katanya.

 

(Penafian: Ini adalah advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan, dan pandangan yang dinyatakan dalam artikel ini)

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan