EKONOMI > BERITA

BELANJAWAN 2025: CTIM CADANG NILAI SEMULA MODEL CUKAI PENDAPATAN BERASASKAN INDIVIDU

26/09/2024 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Institut Percukaian Malaysia (CTIM) mencadangkan agar kerajaan mentakrifkan semula klasifikasi semasa model cukai pendapatan B40, M40 dan T20 untuk mencerminkan landskap ekonomi yang semakin berkembang.

Presiden CTIM Soh Lian Seng mencadangkan supaya satu kajian terperinci dijalankan untuk menilai sama ada sistem cukai pendapatan berasaskan individu sedia ada perlu beralih kepada model berasaskan isi rumah.

“Sudah tiba masanya untuk menyemak semula pelepasan peribadi memandangkan keadaan ekonomi yang berubah.

“Pelepasan peribadi untuk individu (pada masa ini RM9,000) dan tanggungan, serta pelepasan untuk rawatan perubatan ibu bapa, pasangan, dan individu kurang upaya, perlu dikaji semula untuk menunjukkan dengan lebih baik keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata pelepasan untuk individu kurang upaya, yang kekal pada RM6,000 sejak 2005, memerlukan semakan segera dan mencadangkan jumlah itu digandakan supaya sejajar dengan realiti ekonomi semasa.

Belanjawan 2025 yang ditunggu, bertemakan “Ekonomi MADANI: Negara Makmur, Rakyat Sejahtera” akan dibentangkan pada 18 Oktober ini, dengan kerajaan dijangka mencadangkan langkah untuk menjana hasil cukai tambahan bagi memenuhi matlamat jangka masa sederhana mencapai sasaran defisit 3.0 peratus di samping memantau keperluan perbelanjaan masa hadapan.

“Bagi memastikan asas cukai Malaysia menyokong pertumbuhan mampan, satu sistem cukai progresif yang mengurangkan ketirisan cukai dan meningkatkan pematuhan cukai juga penting,” katanya.

Soh turut mencadangkan Rangka Kerja Cukai Berbilang Tahun (MYTF) diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 untuk meningkatkan kepastian pelaburan dan mempercepat pembaharuan ekonomi MADANI.

“Menerusi rangka kerja itu, dasar dan kadar cukai yang jelas boleh diwujudkan untuk tempoh tertentu, seperti tiga hingga lima tahun. Ini akan mewujudkan persekitaran cukai yang stabil dan boleh dijangka, memupuk keyakinan dalam kalangan perniagaan dan pelabur,” katanya.

MYTF yang dirangka dengan baik seharusnya meliputi perkara utama seperti Objektif Dasar Cukai, Pembaharuan Perundangan Cukai, Pentadbiran dan Pematuhan Cukai serta Insentif dan Pengecualian Cukai.

Beliau juga mencadangkan agar fi perkhidmatan cukai (tidak terhad kepada pemfailan cukai) menjadi perbelanjaan boleh ditolak tanpa sekatan, selaras dengan peruntukan potongan am dalam Akta Cukai Pendapatan 1967.

Langkah itu bertujuan meningkatkan pematuhan cukai seiring dengan perkembangan terkini, katanya.

Beliau juga mencadangkan kajian empirikal yang menyeluruh dijalankan untuk meneroka kebolehlaksanaan sistem Cukai Terpadu (UT).

“Pendekatan terpadu ini perlu menggabungkan elemen cukai transaksi dan cukai penggunaan. Kajian itu perlu melibatkan perundingan industri dengan pihak berkepentingan dan mempertimbangkan pengajaran yang diperoleh daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST 1.0) sebelum ini,” katanya.

UT yang dicadangkan juga perlu menyediakan cakupan yang menyeluruh, mengenakan cukai tunggal ke atas barang dan perkhidmatan daripada pengilang kepada pengguna.

Ia perlu merangkumi kredit cukai input untuk membolehkan perniagaan menuntut kredit cukai ke atas input, memastikan cukai hanya dikenakan ke atas nilai tambah sekali gus menggalakkan ketelusan dan keadilan.

Beliau berkata selain itu, UT perlu menggabungkan mekanisme bayaran balik automatik, memanfaatkan teknologi untuk pemfailan cukai dan pembayaran untuk meningkatkan pemantauan pematuhan cukai selain mempercepat pemprosesan bayaran balik untuk menambah baik pengalaman pembayar cukai.

Soh mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan insentif seperti kadar cukai korporat konsesi khas, seperti yang dilaksanakan bagi Zon Kewangan Khas Forest City, untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Kami berpandangan cadangan itu mungkin termasuk potongan cukai dua kali untuk perbelanjaan hijau, skim pembiayaan, dan sokongan digital untuk PMKS.

“Penetapan harga karbon atau mekanisme cukai juga dijangka diumumkan tidak lama lagi, sama ada menerusi pembentangan Belanjawan 2025 atau dalam belanjawan 2026,” katanya.

Soh juga menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan insentif cukai dan pilihan pembiayaan kepada perniagaan, khususnya PMKS, untuk menerima guna tenaga boleh baharu, amalan bangunan hijau dan langkah kecekapan tenaga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan