EKONOMI > BERITA

KERAJAAN PERTIMBANG SETIAP PERMOHONAN BINA INFRASTRUKTUR

01/10/2024 06:09 PM

BATU PAHAT, 1 Okt (Bernama) -- Kerajaan memberikan pertimbangan sewajarnya bagi setiap permohonan peruntukan untuk pembinaan infrastruktur, dalam perancangan dan pelaksanaan dasar belanjawan, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata hal ini selaras dengan pendirian kerajaan yang mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

“Namun, kita perlu mengambil kira kekangan semasa dan memastikan perbincangan dibuat dengan teliti agar setiap penyelesaian yang dicadangkan akan memberi impak positif dan berpanjangan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di Kampung Parit Bilal di sini hari ini.

Mengulas mengenai lawatan itu, beliau berkata Kementerian Kewangan (MOF) mengambil maklum keluhan penduduk Kampung Parit Bilal dan Jalan Parit Ahmad mengenai masalah infrastruktur yang dihadapi.

Lim berkata antara masalah yang dibangkitkan ialah runtuhan tebing Sungai Simpang Kanan, banjir kilat kerana sungai cetek dan kerosakan jalan.

“Antara isu kritikal yang dikenal pasti dalam lawatan ini ialah runtuhan tebing sungai di Jalan Parit Ahmad. Jalan ini bukan sahaja menjadi laluan penting kepada penduduk setempat, malah turut berfungsi sebagai laluan alternatif untuk mengurangkan kesesakan di sekitar Jalan Bukit Pasir dan Jalan Tongkang Pechah.

“Cadangan pembinaan konkrit berbentuk U di sepanjang tebing untuk menstabilkan kawasan ini amat baik dan kami akan pertimbangkan dengan serius," katanya.

Beliau berkata cadangan untuk mendalamkan sungai dan mengeluarkan pasir merupakan langkah yang baik untuk mengurangkan risiko banjir pada masa akan datang.

“Kami akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang akan mengemukakan kertas cadangan kaedah untuk membaiki keadaan ini dan saya daripada pihak MOF akan membuat tindakan susulan yang diperlukan,” katanya.

Lawatan kerja Lim ialah sebahagian daripada Program Santuni MADANI yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Mei lepas.

Program berkenaan memperuntukkan sebuah kampung angkat untuk dijaga oleh setiap pemimpin bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi mereka sekali gus menawarkan penyelesaian kepada isu berbangkit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan