KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Aset Di Bawah Pengurusan (AUM) bagi industri pengurusan pelaburan di Malaysia meneruskan trajektori peningkatan dan mencapai nilai RM1.07 trilion setakat 31 Dis, 2024, meningkat daripada RM975.48 bilion pada 2023.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerusi Tinjauan Kestabilan Pasaran Modal 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata pertumbuhan itu mencerminkan kesan gabungan prestasi yang menggalakkan merentasi pasaran serantau dan domestik bersama suntikan bersih sederhana sepanjang tahun.
“Penilaian pasaran ekuiti yang positif telah meletakkan unit amanah (UTF) sebagai salah satu pemacu penting untuk pertumbuhan AUM,” katanya.
SC berkata komposisi sumber AUM juga menunjukkan kestabilan sepanjang tahun.
“Sumber domestik terus menguasai, menyumbang sebanyak 97.08 peratus daripada jumlah AUM, manakala sumber asing membentuk baki 2.92 peratus,” katanya.
SC berkata antara kategori AUM, UTF kekal sebagai bahagian terbesar AUM pada 51.08 peratus, diikuti oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 19.48 peratus dan badan korporat pada 11.41 peratus.
“Ketiga-tiga kategori ini menyumbang lebih 80.00 peratus daripada jumlah AUM, selaras dengan pemerhatian pada 2023.
“Sumbangan daripada sumber lain kekal kecil, masing-masing pada peratusan satu angka, hal ini menunjukkan ketekalan dalam struktur sumber AUM,” katanya.
Meskipun terdapat peningkatan dalam AUM, SC berkata arah aliran peruntukan aset kekal stabil dan setiap komponen mengalami perubahan kurang daripada 1.00 peratus secara tahunan, kecuali ekuiti yang meningkat +1.58 peratus, sekali gus menunjukkan tiada perubahan ketara pada profil risiko AUM.
SC berkata aset domestik menguasai peruntukan aset AUM berdasarkan geografi dengan sumbangan lebih dua pertiga (67.77 peratus) daripada jumlah AUM (2023: 66.24 peratus), manakala baki 32.23 peratus (2023: 33.76 peratus) diperuntukkan kepada aset asing.
“Peruntukan aset berdasarkan geografi kekal stabil pada tahun lepas dengan peruntukan kepada aset domestik mencatatkan peningkatan tahunan yang kecil sebanyak 1.53 peratus.
“Peruntukan aset asing mengalami penurunan sederhana, kecuali beberapa peruntukan aset asing yang mencatatkan kenaikan yang sedikit,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial