KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna 2025 dijangka diwartakan menjelang akhir tahun ini, kata Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia yang juga Ketua Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB) Abu Hassan Alshari Yahaya.
RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 4 Mac lepas oleh Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, sebagai antara usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.
Abu Hassan Alshari berkata bacaan kedua RUU itu dijadualkan pada sesi parlimen Jun-Ogos akan datang.
"Kami berharap untuk memuktamadkan RUU ini pada suku keempat dan berharap diwartakan menjelang akhir tahun untuk menetapkan tarikh berkuat kuasa akta berkenaan," katanya semasa taklimat media mengenai RUU itu di sini hari ini.
Beliau berkata ketiadaan rangka kerja pengawalseliaan bagi segmen tertentu industri kredit pengguna, menimbulkan risiko pelakuan tidak adil, terutama berikutan pertumbuhan ketara kaedah pembayaran “Beli Sekarang, Bayar Kemudian” (BNPL).
Menurutnya kaedah itu boleh menimbulkan kemudaratan kepada pengguna rentan serta meningkatkan risiko tahap keberhutangan dalam kalangan isi rumah yang tidak terkawal.
Beliau berkata syarikat pemfaktoran dan pemajakan bukan bank yang memberikan kredit kepada individu, serta perusahaan mikro dan kecil turut tidak terkawal pada masa ini, katanya.
“Rangka kerja kawal selia kredit pengguna semasa Malaysia adalah berbeza-beza dan tidak konsisten memandangkan ia ditadbir oleh beberapa kementerian dan agensi menerusi pelbagai undang-undang berkaitan kredit.
"Pengawalseliaan industri kredit pengguna perlu diseragamkan untuk meningkatkan integrasi dan keterangkuman. Ini akan meningkatkan standard perlindungan pengguna, menjadikannya lebih konsisten dan adil," katanya.
Abu Hassan Alshari berkata orang ramai telah melaporkan banyak aduan antaranya mengenai pembeli pinjaman yang bermasalah dan agensi kutipan hutang.
Selain itu, wujud gesaan supaya perkhidmatan kredit ini dikawal selia, katanya.
Transaksi BNPL menunjukkan pertumbuhan ketara sejak 2023 dengan sejumlah 83.8 juta transaksi bernilai RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024.
Sebanyak 149 juta transaksi BNPL bernilai RM12 bilion telah dilaksanakan sepanjang 2024, dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Nilai purata bagi setiap transaksi BNPL adalah antara RM70 dan RM90.
Sehingga Disember 2024, terdapat 12 penyedia BNPL termasuk empat penyedia patuh Syariah.
Tiga penyedia BNPL utama Shopee (SPayLater), Grab (PayLater by Grab) dan Atome mempunyai bahagian pasaran melebihi 95 peratus dari segi pemegang akaun BNPL yang aktif, jumlah dan nilai transaksi BNPL.
Abu Hassan Alshari berkata pertumbuhan dijangka berterusan dengan peningkatan pengguna terhadap penggunaan BNPL dan pengenalan skim BNPL baharu oleh penyedia platform e-dagang seperti TikTok PayLater dan LazPaylator.
Mengenai baki belum jelas, beliau berkata pendedahan kredit BNPL berjumlah RM2.8 bilion pada akhir suku keempat 2024, meningkat setanding dengan pertumbuhan keseluruhan transaksi BNPL.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial