KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama)- Kitaran pelaburan ketiga dan semasa Malaysia bermula pada pertengahan 2023, didorong oleh gabungan faktor kitaran serta struktur, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
BNM menerusi tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata projek pemangkin dan bidang tumpuan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta pelbagai usaha positif ke arah mempertingkatkan ekosistem pelaburan telah membantu mewujudkan dorongan yang lebih banyak bagi pertumbuhan pelaburan.
"Kestabilan dasar juga merupakan faktor penting yang menyokong keyakinan pelabur dalam menerajui lebih banyak perbelanjaan modal," kata bank pusat itu.
Kitaran menaik semasa telah menunjukkan kenaikan yang ketara bagi bahagian sektor perkhidmatan daripada jumlah pelaburan, didorong oleh kluster perkhidmatan moden merangkumi aktiviti kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan, di samping subsektor pengangkutan dan penyimpanan, maklumat dan komunikasi.
Meskipun bahagian sektor perkilangan daripada jumlah pelaburan secara keseluruhannya kekal mampan, peningkatan bahagian elektrik dan elektronik (E&E), produk optik dan subsektor peralatan pengangkutan menunjukkan perkembangan yang positif.
"Sebaliknya, bahagian sektor perlombongan daripada jumlah pelaburan menurun dengan ketara," kata BNM.
Sehubungan itu, bank pusat berpendapat bahawa perkembangan yang ketara adalah peranan sektor swasta yang lebih besar dalam memacu pelaburan dalam kitaran menaik ketiga.
"Kira-kira 77 peratus pelaburan dalam kitaran menaik semasa dilaksanakan oleh sektor swasta (2015: 65 peratus). Pelaburan asing juga telah mencatatkan peningkatan iaitu 45 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2024, berbanding hanya 18.7 peratus pada 2015.
"Perkara ini mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap landskap pelaburan Malaysia, di samping pelaburan yang berterusan oleh syarikat dalam negeri (2024: 55 peratus; 2015: 81.3 peratus)," ujar BNM.
Pada kitaran menaik semasa, pelaburan awam tertumpu terutamanya kepada projek-projek berkaitan dengan kesalinghubungan seperti lebuh raya dan rangkaian 5G serta utiliti seperti pembangunan tenaga boleh baharu manakala syarikat awam terlibat secara aktif dalam memacu pelaburan ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial