EKONOMI > BERITA

SUKUK SRI CECAH RM11.9 BILION TAHUN LEPAS, MELONJAK HAMPIR SEMBILAN KALI SEJAK 2017

24/03/2025 02:58 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Malaysia mencatat pertumbuhan ketara dalam terbitan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) yang mencecah RM11.9 bilion pada 2024 atau peningkatan hampir sembilan kali sejak terbitan sulung pada 2017, susulan sokongan rangka kerja sedia ada.

Dalam Laporan Tahunan 2024, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata pasaran Sukuk SRI juga pada landasan kukuh untuk terus berkembang, didorong oleh keutamaan peralihan tenaga, rangkuman sosial serta kelestarian di bawah rangka kerja ekonomi MADANI.

Agenda ini, kata BNM, sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025), khususnya Tema 3 yang menekankan usaha mempercepat pertumbuhan hijau, mempertingkatkan kemampanan tenaga dan transformasi sektor air.

"Bidang tumpuan strategik ini menggalakkan usaha berterusan untuk pembiayaan yang mampan, seterusnya meletakkan sukuk SRI sebagai instrumen utama bagi mencapai matlamat kelestarian jangka panjang negara.

"Malaysia juga berada pada kedudukan baik bagi menyokong pertumbuhan pasaran sukuk hijau pada peringkat domestik dan global. Pelbagai usaha kini sedang dijalankan oleh BNM dan peserta pasaran untuk meningkatkan penggunaan sukuk hijau dan meletakkan negara sebagai gerbang untuk kewangan Islam," katanya.

Pada masa sama, BNM terus menggalakkan terbitan sukuk hijau serta sukuk SRI bagi memenuhi keperluan pembiayaan yang semakin meningkat dalam projek tenaga boleh diperbaharui, biodiversiti serta infrastruktur awam, selaras dengan projek yang dikenal pasti dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Selain itu di peringkat serantau menyaksikan Malaysia memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan ASEAN Green Bond Standards (Standard Bon Hijau ASEAN) yang merupakan piawaian untuk memastikan penyelarasan dengan amalan terbaik antarabangsa sambil menangani keperluan serantau.

Menerusi kerjasama dengan ASEAN Capital Markets Forum, Malaysia juga menyokong usaha untuk meningkatkan pasaran modal serantau dengan memberikan tumpuan kepada kewangan yang mampan, pelaburan yang bertanggungjawab serta mengukuhkan rangka kerja penzahiran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

"Ini akhirnya meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam usaha memajukan amalan pelaburan yang bertanggungjawab dalam rangka kerja kewangan mampan ASEAN.

"Selain itu, BNM terus menyokong penerbitan sukuk dalam denominasi ringgit oleh pemastautin dan bukan pemastautin untuk kegunaan di Malaysia melalui dasar pertukaran asing yang memudahkan," katanya.

Bank pusat itu berkata, objektif utama langkah ini adalah untuk meningkatkan terbitan instrumen SRI untuk membiayai projek daya tahan iklim, kecekapan tenaga dan impak sosial.

"Komitmen ini menegaskan peranan kepimpinan Malaysia ke arah memupuk inovasi serta pertumbuhan dalam sektor kewangan hijau dalam rantau ASEAN," katanya.

Mengulas Dokumen Dasar Islamic Collateralised Funding (ICF PD) yang diperkenalkan pada Jun 2024,  BNM berkata hasilnya menyaksikan jumlah urus niaga repo antara bank Islam meningkat sebanyak 2.4 kali kepada RM42.6 bilion daripada RM12.6 bilion pada 2023 yang menunjukkan penerapan pasaran  kukuh serta mudah tunai yang semakin meningkat.

ICF PD ini, kata BNM,  menyediakan rangka kerja berstruktur dan standard untuk urus niaga repo Islam, seterusnya menambah baik fungsi keseluruhan Pasaran Wang Antara Bank Islam (IIMM).

"Penyeragaman urus niaga repo Islam dalam IIMM telah menggalakkan kecekapan serta aktiviti pasaran antara bank yang memudahkan pendanaan jangka pendek dan pengurusan mudah tunai dalam kalangan institusi kewangan Islam di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan