KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) – Pembuat dasar perlu memiliki instrumen dan strategi yang mampu menguruskan peningkatan kejutan penawaran yang semakin kompleks pada masa akan datang, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Kejutan penawaran lazimnya ditakrifkan sebagai gangguan yang meningkatkan kos pengeluaran atau mengehadkan keluaran disebabkan oleh faktor-faktor seperti ketegangan geopolitik, bencana alam atau perubahan dasar.
Dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 yang dikeluarkan hari ini, BNM memaklumkan pada masa hadapan, kejutan penawaran dijangka meningkat dari segi skala, kekerapan dan tempoh kejutan yang berterusan.
Hal ini dipacu oleh pelbagai faktor seperti ketegangan geopolitik, aliran mengurangkan kebergantungan ke pasaran global, perubahan demografi serta cabaran perubahan iklim.
Dalam menangani kejutan penawaran yang berulang, BNM mencadangkan pembuat dasar memberikan tindak balas yang tepat pada masanya dan berdasarkan maklumat yang mencukupi kerana kerjasama erat adalah penting bagi menilai kejutan penawaran secara menyeluruh dengan mengambil kira kesan serta-merta serta implikasi struktur jangka panjang.
“Kedua, dasar monetari tidak boleh berfungsi secara berasingan daripada dasar lain, khususnya dalam menangani kejutan penawaran yang berpunca daripada dasar kerajaan.
“Penyelarasan yang kukuh antara dasar fiskal dengan dasar monetari yang sangat penting bagi memastikan tindak balas yang lebih teliti dan berkesan,” menurut BNM.
Selain itu, bank pusat turut menyatakan komunikasi yang jelas, tepat pada masanya dan telus mengenai objektif dasar monetari yang penting dalam membentuk jangkaan orang awam dan pasaran, khususnya semasa tempoh pembaharuan ekonomi.
Katanya, penyampaian mesej yang konsisten serta berwibawa dapat mengurangkan ketidakpastian, mengehadkan tindak balas berlebihan daripada isi rumah dan perniagaan serta menurunkan risiko jangkaan inflasi daripada menjadi tidak terkawal.
“Di samping itu, komunikasi yang sistematik mengenai ketidaktentuan penting, khususnya dalam tempoh kejutan penawaran yang kerap dan berskala besar. Pendekatan ini memperkukuh ketelusan serta kredibiliti, sekali gus menyokong matlamat BNM dalam mengekalkan kestabilan harga dan pertumbuhan yang mampan,” kata BNM.
Tambahan pula, BNM berkata rangka kerja yang digariskan menyediakan pendekatan berstruktur untuk memahami serta bertindak balas terhadap kejutan penawaran, lantas memastikan keputusan dasar monetari dibuat berdasarkan maklumat yang tepat dan bersesuaian dengan konteks.
“Pendekatan sebegini membantu mengekalkan kestabilan harga dalam jangka sederhana tanpa memberikan tekanan yang berlebihan terhadap kegiatan ekonomi.
"Dengan menerapkan pemahaman ini, BNM dapat mengemudi cabaran yang kompleks dengan lebih berkesan, memupuk kepercayaan orang ramai selain menyokong matlamatnya untuk memastikan kestabilan harga dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial