EKONOMI > BERITA

DASAR PERINDUSTRIAN DIPACU INOVASI DAN REFORMASI PASARAN BURUH BOLEH TINGKAT PENDAPATAN ISI RUMAH – BNM

24/03/2025 03:22 PM

KUALA LUMPUR 24 Mac (Bernama) -- Pelaksanaan dasar perindustrian yang strategik dan dipacu inovasi serta pembaharuan pasaran pekerja boleh meningkatkan pendapatan isi rumah, kata kata Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM menerusi Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata peningkatan itu boleh dicapai menerusi peningkatan produktiviti, pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan pampasan yang adil.

Bank pusat berkata pembaharuan boleh ditumpukan pada usaha meningkatkan fleksibiliti pasaran pekerja dengan melonggarkan undang-undang pekerja yang terbatas, menggalakkan mobiliti tenaga kerja, seterusnya mengukuhkan institusi pasaran kerja serta melaksanakan dasar yang menggalakkan pampasan yang adil selaras dengan produktiviti pekerja juga sangat penting.

Sebagai contoh, BNM berkata meningkatkan keseragaman kemahiran akan membolehkan pergerakan pekerja antara pekerjaan dan industri yang berbeza serta dengan memanfaatkan teknologi, pengaturan kerja juga boleh dijadikan fleksibel untuk menampung keperluan tenaga kerja yang pelbagai dan meningkatkan penyertaan pekerja, terutamanya bagi wanita.

Berikut adalah antara cadangan BNM dalam laporan tahunan itu mengenai peningkatan pendapatan secara bermakna dalam menangani tekanan kos sara hidup.

Bank pusat berkata langkah-langkah yang lebih langsung, seperti kawalan harga dan subsidi boleh memberikan kesan yang ketara pada usaha melegakan beban kos dan memastikan harga barangan keperluan kekal stabil, namun perlu digunakan secara berhati-hati kerana melibatkan kos fiskal yang tinggi dan tidak mampan

“Selain itu, pendekatan ini boleh menyebabkan gangguan yang menghalang pelarasan harga secara semula jadi dan seterusnya boleh memberikan kesan negatif kepada ekonomi pada jangka panjang,” katanya.

Bank pusat berkata dasar monetari  merupakan alat dasar yang memberikan kesan meluas, dasar fiskal lebih bersasar untuk membantu mengurangkan kos sara hidup bagi kumpulan tertentu.

Sebagai contoh, kerajaan boleh membantu menangani perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat dengan menyediakan subsidi bersasar atau pelepasan cukai untuk isi rumah.

“Selain itu, apabila berlaku gangguan bekalan akibat peristiwa seperti cuaca buruk yang menyebabkan kenaikan harga secara umum, kerajaan boleh memberikan bantuan wang tunai kepada isi rumah yang terjejas untuk menambah pendapatan mereka,” katanya.

Sementara itu, bank pusat berkata tekanan harga juga boleh disebabkan oleh struktur pasaran yang meningkatkan kos dan menjadikan ekonomi lebih mudah terjejas akibat kejutan.

Sebagai contoh, pasaran yang tidak cekap boleh menyebabkan amalan monopoli dan mengurangkan persaingan.

“Keadaan ini membolehkan syarikat besar menaikkan harga barangan dan perkhidmatan tanpa meningkatkan kualiti,” katanya.

Dalam hal ini, BNM berkata pembaharuan struktur boleh dilaksanakan untuk melonjakkan produktiviti, meningkatkan persaingan dan mengukuhkan daya tahan ekonomi

“Pembaharuan ini melibatkan pelarasan jangka panjang terhadap dasar, institusi dan rangka kerja ekonomi di mana matlamat akhirnya adalah untuk mewujudkan persekitaran ekonomi yang teguh serta menggalakkan persaingan, kecekapan dan pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi.

“Pada masa yang sama, pembaharuan ini bertujuan memastikan inflasi kekal rendah dan stabil,” katanya.

Bank pusat berkata, dengan menangani kedua-dua faktor kos dan pendapatan, pembaharuan ini akan membantu isi rumah menangani cabaran kos sara hidup pada masa hadapan dengan lebih baik.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan