EKONOMI > BERITA

KEUNTUNGAN INSURANS HAYAT, TAKAFUL SAKSIKAN PENURUNAN SEPARUH MASA KEDUA 2024

24/03/2025 03:21 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Keuntungan dana insurans hayat dan takaful keluarga pada separuh kedua 2024 menurun kepada RM4.1 bilion berbanding separuh masa pertama iaitu RM8.4 bilion ,  didorong oleh keuntungan bersih belum direalisasikan yang lebih rendah daripada portfolio pelaburan.

Bagaimanapun, lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan (EIOO) untuk keseluruhan 2024 meningkat kepada RM12.4 bilion berbanding RM9.4 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, berikutan prestasi pasaran ekuiti yang lebih kukuh untuk tahun itu, kata Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Kedua 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Laporan tersebut juga menyebut penanggung insurans hayat serta pengendali takaful keluarga (ITO hayat dan keluarga) mencatatkan kerugian pengunderaitan bersih yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun 2024, disebabkan oleh pembayaran perubatan lebih tinggi sebanyak RM6.2 bilion (separuh pertama 2024: RM5.3 bilion; separuh kedua 2023: RM5.3 billion).

Ia didorong terutamanya oleh peningkatan kos purata keseluruhan dan kadar penggunaan rawatan perubatan, terutamanya daripada kes-kes kronik dan akut, sekali gus menyebabkan premium polisi insurans/sijil takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) diselaraskan lebih tinggi bagi memastikan kemampanan perlindungan jangka panjang.

Sementara itu, bank pusat itu berkata pertumbuhan premium perniagaan baharu untuk ITO hayat dan keluarga meningkat sebanyak 6.4 peratus pada separuh kedua 2024 (separuh tahun kedua 2023: 6.8 peratus; 2019–2023 purata separuh tahun: 9.1 peratus), didorong oleh pertumbuhan dalam premium perniagaan baharu untuk produk berkaitan pelaburan.

Dalam sektor insurans umum dan takaful, keuntungan operasi melonjak kepada RM1.9 bilion pada sepauh kedua 2024, disokong oleh keuntungan pengunderaitan (separuh pertama 2024: RM1.7 bilion; separuh kedua 2023: RM1.8 bilion). 

Sementara itu, nisbah tuntutan bersih yang ditanggung bagi perniagaan permotoran telah menstabil menjelang separuh kedua 2024 pada 69 peratus selepas menormalkan dari paras terendah semasa pandemik dan di bawah purata pra-pandemik sebanyak 71 peratus.

"Sektor insurans dan takaful kekal berdaya tahan, disokong seterusnya oleh modal serta kecairan yang lebih baik. Nisbah kecukupan modal agregat (CAR) untuk industri kekal sihat pada 224 peratus menjelang separuh kedua 2024, jauh melebihi minimum peraturan 130 peratus.

"Di samping itu, penampan modal agregat yang melebihi keperluan pengawalseliaan juga kekal mencukupi pada RM41.1 bilion (Jun 2024: RM37.4 bilion)," katanya.

Melangkah ke hadapan, laporan itu berkata prestasi pelaburan ITO terus terdedah kepada keadaan pasaran kewangan memandangkan pegangan pelaburan yang besar di ITO dalam bentuk bon dan ekuiti, serta risiko yang berkaitan dengan iklim memandangkan peningkatan risiko fizikal dan peralihan dapat diterjemahkan ke dalam risiko kewangan.

"ITO perlu menilai pendedahan mereka terhadap risiko yang berkaitan dengan iklim dalam langkah ujian tekanan risiko yang sulung pada 2025. ITO juga boleh menghadapi kekangan dalam perniagaan MHIT yang baru disebabkan oleh kebimbangan terhadap tekanan kos yang tidak dapat dipertahankan.

"Langkah-langkah yang diambil oleh ITO untuk memberikan bantuan jangka pendek kepada para pemegang polisi atau peserta dari premium MHIT juga dijangka akan memberikan kesan kepada prestasi kewangan industri tersebut," katanya lagi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan