KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Jumlah aset Bank Negara Malaysia (BNM) pada 31 Disember 2024 turun 1.61 peratus kepada RM621.54 bilion berbanding RM631.74 bilion pada 2023 dengan rizab antarabangsa terus menjadi sebahagian besar daripada aset itu sebanyak 84 peratus (2023: 82 peratus).
BNM dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini berkata liabilitinya terdiri terutamanya daripada mata wang dalam edaran dan deposit oleh institusi kewangan, masing-masing berjumlah RM170.72 bilion dan RM131.92 bilion pada akhir tahun 2024 (2023: masing-masing RM161.82 bilion dan RM176.66 bilion).
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, BNM mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai berjumlah RM13.16 bilion (2023: RM7.16 bilion) berikutan jumlah pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM14.98 bilion (2023: RM8.77 bilion), setelah ditolak kos yang berkaitan dengan pengurusan portfolio rizab dan operasi monetari.
Menurut bank pusat, pendapatan yang lebih tinggi itu sebahagian besarnya didorong oleh pulangan pelaburan rizab antarabangsa yang lebih mantap dan aktiviti portfolio dalam pasaran pertukaran asing serta pasaran sekuriti global.
Perbelanjaan organisasi berjumlah RM1.78 bilion pada 2024 (2023: RM1.57 bilion), dengan kos kakitangan menyumbang kira-kira separuh daripada perbelanjaan tersebut.
Daripada keuntungan bersih sebanyak RM13.16 bilion, RM7.91 bilion (2023: RM4.31 bilion) akan dipindahkan kepada Rizab Risiko 1 yang berjumlah RM147.90 bilion pada akhir tahun 2024 (2023: RM151.25 bilion.
“Memandangkan rizab antarabangsa BNM adalah dalam mata wang asing, pengumpulan penampan kewangan yang mencukupi adalah penting bagi menghadapi volatiliti dan kejutan dalam pasaran kewangan pada masa hadapan serta menguruskan risiko turun naik kadar pertukaran dalam landskap global yang tidak menentu,” kata bank pusat.
Baki keuntungan bersih sebanyak RM5.25 bilion akan dibayar kepada kerajaan sebagai dividen (2023: RM2.85 bilion).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial