EKONOMI > BERITA

BNM AMBIL 326 TINDAKAN PENYELIAAN & PENGUATKUASAAN, KENAKAN PENALTI RM18.9 JUTA

24/03/2025 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Sebanyak 326 tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan diambil pada 2024, dengan kebanyakannya melibatkan pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan pencegahan pembiayaan percambahan (AML/CFT/CPF), menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Tindakan yang turut melibatkan dasar kehematan dan dasar pertukaran asing itu diambil terhadap entiti yang dikawal selia oleh BNM serta individu dan institusi yang melanggar pengawalan BNM.

“Penalti monetari berjumlah RM18.9 juta telah dikenakan ke atas institusi terbabit.

“BNM akan terus menerbitkan butiran tindakan penguatkuasaan menerusi laman sesawang BNM untuk mencegah pelanggaran peraturan pada masa hadapan dan memupuk keyakinan terhadap sistem kewangan,” menurut BNM dalam Laporan Tahunan 2024 yang dikeluarkan hari ini.

BNM memaklumkan pihaknya telah melaksanakan aktiviti pemantauan di premis terhadap 123 entiti yang melibatkan 166 premis untuk mengesan aktiviti haram yang mungkin berlaku.

Aktiviti pemantauan ini turut disokong oleh rakan penguat kuasa undang-undang seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) untuk menganggu dan membongkar skim dan entiti haram, jelas BNM.

Selain itu, bank pusat juga memanfaatkan alat-alat penyiasatan lain, termasuk penggunaan analitik data, tambahnya.

BNM juga memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap aktiviti haram, termasuk menyiasat dan mendakwa pengendali perniagaan perkhidmatan wang (MSB) haram.

Sebanyak 37 perintah pemberhentian dan larangan telah dikeluarkan terhadap pengendali MSB haram, tambah BNM.

“BNM juga melucutkan aset daripada aktiviti haram berjumlah RM28.4 juta.

“Bagi pelanggaran Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, BNM mensabitkan kesalahan terhadap 11 pengendali MSB haram pada 2024 dengan jumlah denda sebanyak RM891,000,” menurutnya.

Menurut BNM dari segi amalan pasaran, pihaknya giat melaksanakan tindakan punitif terhadap institusi kewangan yang gagal mengekalkan standard yang wajar bagi amalan yang baik dan bertanggungjawab untuk melindungi pengguna kewangan.

“BNM berjaya melaksanakan pengembalian semula wang berjumlah RM125.5 juta kepada kira-kira 1.5 juta pelanggan. BNM juga mengambil tindakan kawal selia terhadap broker insurans dan takaful serta penasihat kewangan yang gagal memenuhi jangkaan pengawalseliaan, termasuk standard profesionalisme yang sewajarnya,” menurut BNM.

Dalam melangkah ke hadapan, BNM menjelaskan persekitaran kewangan akan terus berkembang, terutamanya didorong oleh kemajuan digital dan teknologi, risiko baharu dan yang baru muncul serta perubahan dalam demografi.

Bagi langkah selanjutnya, untuk memastikan keutamaan penyeliaan dan pengawalseliaan BNM selaras dengan mandat kestabilan kewangannya, BNM akan terus memperkukuh pendekatan pengawalseliaan dan penyeliaan bagi menggalakkan sistem kewangan yang berdaya tahan terhadap kejutan pada masa hadapan dan risiko yang baru muncul.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan