EKONOMI > BERITA

BURSA MALAYSIA LANTIK ABDUL FARID ALIAS SEBAGAI PENGERUSI BERKUAT KUASA 1 MEI

27/03/2025 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd hari ini mengumumkan pelantikan Tan Sri Abdul Farid Alias ​​sebagai pengerusi baharunya berkuat kuasa 1 Mei 2025.

Dalam satu kenyataan, Bursa Malaysia memaklumkan Abdul Farid yang berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bursa Malaysia sejak Julai 2022 akan menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang akan bersara pada 30 April ini selepas tamat tempoh perkhidmatan selama lima tahun sebagai pengerusi.

Katanya, pelantikan ini ditetapkan oleh Menteri Kewangan di bawah Seksyen 10(1)(a) dan (3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

 "Bursa Malaysia akan terus mengukuh dan berkembang di bawah pimpinan Abdul Farid, merangkumi nilai teras yang memacu pertumbuhan bertumpu kepada tujuan syarikat, memastikan kesinambungan komitmen bursa untuk mencipta peluang selain meningkatkan nilai bagi pihak berkepentingan kami," kata Abdul Wahid dalam kenyataan.

Abdul Farid, 57, merupakan bekas Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Bhd (Maybank) dari Ogos 2013 hingga April 2022.

Beliau merupakan jurubank bertauliah yang berpengalaman dengan kerjayanya selama 30 tahun dalam sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan bersama-sama tumpuan pada perbankan pelaburan, perbankan komersial serta pasaran modal.

Abdul Farid memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) dari University of Denver, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perakaunan dari Pennsylvania State University.

Menurut Bursa Malaysia, beliau juga menamatkan Program Pengurusan Lanjutan dari Harvard Business School.

Sementara itu, Bursa Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Abdul Wahid di atas sumbangan berterusan selama 12 tahun yang pada mulanya menjadi pengarah bebas dari 2004 hingga 2011 dan kemudiannya kembali berkhidmat sebagai pengerusi bermula 1 Mei 2020.

"Abdul Wahid akan dikenang di atas sumbangannya yang tidak ternilai sewaktu memegang jawatan sebagai Pengerusi Bursa Malaysia. 

​“Secara khususnya, beliau memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kedudukan Bursa Malaysia dalam pasaran modal Islam dan inisiatif kelestarian termasuk pelancaran Bursa Carbon Exchange (bursa produk pelbagai alam sekitar patuh syariah pertama di dunia) dan pelancaran Bursa Gold Dinar yang juga patuh syariah.

“Di bawah tempoh perkhidmatannya, Bursa Malaysia juga melancarkan dana dagangan bursa yang menggabungkan konsep wakaf pertama di dunia,” kata Bursa Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan