Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Malaysia tidak seharusnya panik dan gopoh membuat keputusan berhubung kesan tarif timbal balik 24 peratus ke atas barangan Malaysia oleh Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata pengumuman Presiden AS Donald Trump berkaitan tarif berkenaan masih baharu dan Malaysia perlu mengambil masa untuk lebih mendalami kesan tarif kepada industri seterusnya berkaitan inflasi.
“Kita kena analisis isu yang ada dan kita perlu berbincang. Buat masa sekarang, pendekatan yang Malaysia ambil iaitu untuk terus berbincang dengan AS kerana kita rasa dengan cara perbincangan, kita boleh cari penyelesaian yang lebih baik.
“Insya-Allah dengan mesyuarat-mesyuarat yang ada dalam ASEAN ini, kita akan cari jalan juga, berbincang dengan rakan kita semua agar ada kesepakatan ke hadapan,” katanya kepada Bernama selepas sesi lawatan persiapan Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN ke-12 (AFMGM) hari ini.
Amir Hamzah berkata demikian ketika ditanya mengenai kesan tarif AS terhadap unjuran inflasi negara pada tahun ini.
Turut hadir dalam sesi lawatan berkenaan Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Bank Negara Malaysia (BNM) meletakkan unjuran inflasi tahun ini sekitar 2.0 hingga 3.5 peratus.
Sementara itu, beliau berkata unjuran inflasi tahun ini telahpun mengambil kira pelaksanaan pelarasan subsidi pada masa akan datang.
“Ekonomi kita masih rancak lagi, jadi kadang-kadang apabila ekonomi itu amat rancak, ada tekanan sikit daripada segi inflasi.
“Kita belum mengambil kira lagi apakah yang akan berlaku kalau tarif ini mengambil dan menekan ekonomi dengan lebih. Di bawah kerajaan kita ada majlis bersama yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memberi pandangan hala tuju bagi menangani isu yang ada ini,” katanya.
Amir Hamzah berkata minggu hadapan, selain menteri-menteri kewangan dan gabenor bank negara serantau dijadualkan bertemu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz juga akan berjumpa dengan rakan sejawatannya manakala Perdana Menteri juga akan terus berbincang dengan ketua-ketua negara ASEAN.
“Semua negara akan berbincang berhubung apa yang penting untuk setiap negara. Kesefahaman dan kesepakatan ASEAN memang dari lama lagi sudah ada, jadi apabila kita berbincang, kita berjalan bersama,” katanya.
Menurut BNM, kesan inflasi daripada langkah-langkah dasar dalam negeri dan pelarasan cukai yang diumumkan termasuk rasionalisasi subsidi RON95 secara bersasar dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), dijangka bersifat sementara dan ia dapat dibendung dengan baik.
Bank pusat itu berkata inflasi dijangka menunjukkan aliran menaik antara dua hingga 3.5 peratus tahun ini berbanding purata pada 1.8 peratus pada 2024 tetapi akan kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.
Ekonomi Malaysia juga diunjurkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025, dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan dan disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang stabil meskipun berdepan ketidaktentuan luaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial