EKONOMI > BERITA

'KRISIS TRUMP', PELUANG TINGKATKAN INTEGRASI, DAYA TAHAN ASEAN - NAZIR RAZAK

08/04/2025 09:46 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Menyifatkan langkah tarif Amerika Syarikat (AS) sebagai “krisis Trump”, Tan Sri Nazir Razak berkata ini adalah peluang bagi ASEAN untuk menunjukkan dan mengukuhkan lagi perpaduan dan daya tahan serta bersama-sama meningkatkan integrasi ekonomi blok tersebut.

Di sebalik cabaran yang mendatang, Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) itu berkata beliau optimis mengenai ASEAN berikutan kedudukan neutral strategik blok tersebut telah menarik minat pelabur dari timur dan barat.

Pada 2023, pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini mencatatkan rekod sebanyak US$230 bilion (atau 17.2 peratus daripada FDI global) walaupun terdapat penurunan sebanyak 10 peratus dalam aliran masuk FDI global, katanya dalam ucaptama pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 di sini.

Ia turut mengekalkan hubungan ekonomi yang kukuh dengan semua kuasa ekonomi utama.

“ASEAN mahir dalam mengekalkan perpaduan dalam kalangan negara anggota dan kedudukan neutral dengan pihak luar.

“Cabaran yang sedang dihadapi akan diuji dalam beberapa minggu dan bulan akan datang tetapi ‘krisis Trump’ ini juga merupakan peluang untuk menunjukkan dan mengukuhkan lagi perpaduan dan daya tahan ASEAN. 

“Kita lebih kuat bersama; kita tidak boleh berpecah oleh wang atau jaminan keselamatan,” katanya.

Nazir berkata keyakinannya terhadap ASEAN juga diraih daripada barisan baharu pemimpin antarabangsa yang optimis terhadap ASEAN.

“Buat kali pertama kita mempunyai barisan pemimpin antarabangsa yang baharu; daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Malaysia, Prabowo Subianto dari Indonesia, Lawrence Wong dari Singapura, Paetongtarn Shinawatra dari Thailand, Bongbong Marcos dari Filipina hingga Samdech Hun Manet dari Kemboja. 

“ASEAN mencapai matlamatnya apabila para pemimpin komited mengenai kerjasama serantau,” katanya.

Beliau berkata kumpulan serantau itu telah mengambil iktibar daripada pengalaman sebelum ini terutamanya mengenai keperluan pelaksanaan berbanding retorik.

ASEAN mempunyai prospek yang lebih baik hari ini berikutan blok itu memahami bukan sahaja kemungkinan tetapi juga had yang lebih baik berbanding pada 2007 apabila pelan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dilancarkan.

“Pada masa itu, kami fikir kami mahu berkembang menjadi seperti Kesatuan Eropah tetapi kini kami tahu bahawa kami tidak perlu.

“Apabila anda mempunyai pelan yang realistik, peluang untuk berjaya sentiasa lebih baik. Sebenarnya, ia perlu mengenai mencapai kemajuan yang nyata dan berperingkat, bukan pelan yang terlalu besar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan