Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin dan Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pertemuan Malaysia dengan perwakilan daripada Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah - ASEAN (EU-ABC) dan Amerika Syarikat (AS-ABC) pada Selasa bertujuan membincangkan inisiatif-inisiatif baharu yang boleh meningkatkan perdagangan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga negara-negara anggota.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pertemuan itu juga turut mengenal pasti isu-isu yang dihadapi oleh para pelabur, sekali gus memikirkan kaedah yang sesuai untuk membantu mereka mengatasi permasalahan berkenaan.
“Ini dapat membantu kerajaan untuk mengambil tindakan (sewajarnya) bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan mereka di sini. Perbincangan yang kita adakan tadi amat baik dan idea-idea baru yang diutarakan (boleh membantu) untuk meningkatkan lagi perdagangan intra-ASEAN,” katanya ketika ditemui Bernama selepas berlangsungnya pertemuan dua hala secara berasingan itu.
Pada masa yang sama, Amir Hamzah berkata Malaysia juga mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan daripada AS-ABC dalam usaha mencari jalan penyelesaian kepada tarif yang dikenakan Washington.
Beliau turut berharap untuk mendapatkan persetujuan dan kesepakatan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN ketika menjelangnya tiga mesyuarat penting bersama AS-ABC, EU-ABC dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC) hari ini.
"Kita berharap akan mendapat persetujuan dan kesepakatan untuk kita berinteraksi dan meningkatkan perdagangan yang ada antara industri-industri sendiri dan dengan negara yang lain.
"Idea-idea seperti perdagangan intra-ASEAN merupakan langkah yang bernas untuk negara anggota membina sebuah operasi pasaran rentas sempadan (cross-border market operation). Oleh itu, saya berharap hasil yang positif dan persetujuan bersama daripada semua pihak.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan Amir Hamzah itu memberi penekanan kepada isu-isu kewangan yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya tarikan Asia Tenggara sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan.
Ia juga penting bagi mengatur langkah efektif dalam menangani kesan negatif daripada pengumuman tarif baharu AS baru-baru ini, terutamanya terhadap pertumbuhan ekonomi serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial