EKONOMI > BERITA

MANULIFE PERKENAL PELAN PERUBATAN BAHARU, BERI PERLINDUNGAN KESIHATAN PENUH

20/05/2025 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Syarikat insurans hayat, Manulife Insurance Bhd memperkenalkan pelan perubatan baharu, Manulife Health Saver Enrich (MHSE), bertujuan menyediakan perlindungan penjagaan kesihatan menyeluruh meliputi pencegahan hingga pemulihan.

Dalam kenyataan pada Selasa, Manulife menjelaskan pelan itu meliputi penjagaan mencegah seperti vaksinasi untuk denggi, influenza, kanser serviks dan penyakit pneumokokus, serta rawatan pesakit luar dan rawatan di wad serta rawatan susulan termasuk saringan kanser.

“Pelan ini bercirikan diskaun tanpa tuntutan (NCD) terkemuka industri sehingga 40 peratus ke kos insurans perubatan, dan terus secara berperingkat lebih rendah jika tuntutan dibuat dalam tempoh yang diinsuranskan.

“Terdapat juga pilihan yang fleksibel dan harga dinamik mengikut tahap perlindungan yang diperlukan,” tambahnya.

NCD merujuk kepada diskaun ke atas premium insurans yang diberikan kepada pemegang polisi yang tidak membuat sebarang tuntutan dalam tempoh tertentu.

Ketua Pegawai Eksekutif Manulife, Vibha Coburn berkata syarikat gembira dapat memperkenalkan pelan yang menyokong keperluan perubatan holistik pelanggan.

“Matlamat kami adalah menyediakan perlindungan jangka masa panjang, nilai dan ketenangan fikiran kepada pelanggan kami dan keluarga mereka justeru, mereka boleh memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting -- menjalani kehidupan yang sihat dan bermakna,” katanya.

Manulife juga mengumumkan Program Penukaran Jaminan MHSE untuk tempoh terhad, membenakan pemegang polisi sedia ada bagi produk perubatan Manulife terpilih untuk menukar polisi kepada pelan MHSE tanpa penilaian semula perubatan.

Program itu berlangsung dari 11 April hingga 30 Sept, 2025.

Syarikat itu memaklumkan butiran lanjut mengenai pelan MHSE boleh didapati di laman webnya atau melalui wakilnya yang diberi kuasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan