Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail, Niam Seet Wei dan Kisho Kumari Sucedaram
KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan belanjawan yang mengumpulkan sumber berjumlah RM470 bilion bagi 2026 dengan mengutamakan daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perniagaan kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan.
Belanjawan 2026 yang bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat akan mengumpulkan dan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata angka itu meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus (OE) Persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan (DE) Persekutuan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta, dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan dan syarikat MKD.
“Mengangkat tema Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat—setelah berani mengusung reformasi, kini masa memulangkan hasil kepada rakyat,” kata beliau semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen hari ini.
Belanjawan 2026 adalah Belanjawan MADANI keempat dan yang pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030).
Perdana Menteri berkata dalam usaha menaikkan siling ekonomi dan lantai hidup rakyat, kerajaan harus meningkatkan kecekapan fiskal, menutup ruang ketirisan dan memperkukuh institusi negara.
Beliau berkata Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) separuh pertama tahun 2025 mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu pada 4.4 peratus.
Walaupun diasak perang tarif Amerika Syarikat, beliau berkata unjuran semula KDNK 2025 antara 4.0 hingga 4.8 peratus membuktikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.
Bagi tahun 2026, Anwar berkata ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.0 hingga 4.5 peratus susulan ketidaktentuan ekonomi dunia dan sengketa geopolitik, geoekonomi yang berterusan.
“Pada tahun hadapan, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat kepada RM343.1 bilion ketimbang RM334.1 bilion unjuran tahun ini,” kata beliau.
Menurut beliau, lazimnya cukai akan dikenakan apabila diperlukan perbelanjaan tambahan untuk prasarana dan bantuan rakyat, namun kerajaan memilih untuk membaiki tatakelola, termasuk penyasaran subsidi tanpa menambah beban rakyat.
Anwar berkata dalam mendepani persaingan global yang semakin sengit, kerajaan memberi keutamaan terhadap pelaburan strategik berpertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan digital.
Justeru, kerajaan akan memudahkan urusan para pelabur dengan memperkenalkan Status ASEAN Business Entity (ABE) yang diselaras Suruhanjaya Sekuriti (SC), Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal yang diwartakan untuk Zon Kewangan Khas Forest City, Investor Pass yang diterajui MIDA menyediakan kemudahan Visa Kemasukan Berbilang sehingga 12 bulan kepada pelabur asing dan Residence Pass–Talent Fast Track diteruskan.
Selain itu, kerajaan akan menggandakan sokongan dalam sektor bernilai tinggi dengan menyediakan dana padanan kepada PKS dan syarikat pertengahan berjumlah RM200 juta ringgit Dana Pelaburan Bersama Strategik.
Sementara itu, Khazanah dan KWAP melabur sebanyak RM550 juta dalam ekosistem semikonduktor bagi meningkatkan usaha sama firma tempatan dan syarikat multinasional, manakala di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), BPMB menyediakan pinjaman RM500 juta bagi menyokong aktiviti nilai tambah tinggi seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutamanya oleh syarikat tempatan yang menyokong ekosistem elektrik dan elektronik (E&E).
“GLIC terus memangkin pelaburan domestik serta memperkukuhkan ekosistem startups (pemula niaga) dalam negara,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata kecekapan sektor logistik juga ditingkatkan supaya aktiviti ekonomi bergerak lebih pantas, kos efisien serta memanfaat pelabur, industri dan rakyat.
Perdana Menteri berkata usaha kerajaan membangunkan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) telah membina keyakinan pelabur terhadap Johor sebagai pintu gerbang strategik Malaysia.
“Bagi separuh pertama 2025, JS-SEZ merekodkan pelaburan diluluskan RM37.1 bilion iaitu 66 peratus daripada keseluruhan pelaburan Johor, malah JS-SEZ juga meraih RM29 bilion lagi komitmen pelaburan baharu,” kata beliau.
Selain itu, kerajaan menyokong pembangunan aktiviti ekonomi di sempadan utara seperti Delapan di Zon Ekonomi Sempadan Khas Bukit Kayu Hitam yang muncul sebagai hab pertumbuhan moden yang menghubungkan rantaian bekalan dan ekosistem digital ASEAN dengan pelaburan RM2.7 bilion.
Dalam memastikan Malaysia turut menjadi pemain utama sebagai pengeluar produk ciptaan yang mampu menembusi pasaran eksport, kerajaan memberi keutamaan kepada penghasilan kecerdasan buatan (AI) dan menyubur aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta (RDCI).
“Kerajaan bercadang potongan cukai tambahan 50 peratus diberikan kepada PMKS bagi perbelanjaan kos latihan berkaitan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf oleh MyMahir National AI Council for Industry (NAICI) yang diterajui bersama Talentcorp dan MyDigital.
“Sebuah Sovereign AI Cloud akan dibina oleh SKMM dengan pelaburan RM2 bilion,” kata beliau.
Berhubung kemudahan mobiliti rakyat, Perdana Menteri berkata ketersambungan rel negara diperkukuh untuk rakyat seperti meningkatkan kecekapan LRT Laluan Kelana Jaya melalui penggantian 26 unit tren baharu dengan kos RM1 bilion oleh Prasarana.
“LRT3 dijangka beroperasi akhir 2025. Ini akan menghubungkan Bandar Utama, Damansara ke Johan Setia, Klang yang mampu membawa lebih 6,200 penumpang setiap jam setiap arah,” kata beliau.
Manakala, ECRL Fasa 1 Kota Bharu-Gombak dijangka siap akhir 2026 yang dijangka mengurangkan masa perjalanan Kelantan ke Lembah Klang kepada empat jam.
Bagi pembeli rumah pertama, Anwar berkata kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000, dilanjutkan selama dua tahun iaitu sehingga 31 Dis, 2027.
“Kerajaan bercadang mengenakan duti setem pada kadar rata daripada empat kepada lapan peratus ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing, kecuali individu pemastautin tetap di Malaysia,” kata beliau.
Pembentangan Belanjawan 2026 yang mengambil masa dua jam itu mencakupi usaha Kerajaan MADANI dalam menaikkan siling pertumbuhan negara dan lantai kesejahteraan rakyat.
Ia menandakan peralihan daripada proses reformasi kepada era transformasi, melakar perjalanan di mana pemulihan segera digantikan dengan pembaharuan jangka masa panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial