KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan kerjasama dengan China dalam membangunkan industri pemprosesan unsur nadir bumi (REE) tempatan, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
MITI berkata Malaysia sentiasa memanfaatkan kerjasama strategik dengan negara berkeupayaan teknologi tinggi dalam pemprosesan REE memandangkan walaupun mempunyai deposit nadir bumi, negara masih belum memiliki kepakaran dan teknologi mencukupi untuk memprosesnya.
“Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan negara-negara asing yang berkeupayaan dalam pembangunan sumber REE termasuk dari China dan Amerika Syarikat (AS),” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
MITI menjawab pertanyaan Syerleena Abdul Rashid (PH–Bukit Bendera) yang meminta penjelasan bagaimana kementerian mengimbangi tawaran China membangunkan industri REE dengan hubungan sedia ada bersama AS.
Menurut MITI, langkah itu juga bertujuan memastikan Malaysia tidak terlalu bergantung kepada teknologi pemisahan REE dari satu negara sahaja.
MITI juga menegaskan bahawa strategi ini selaras dengan pelaksanaan dasar nasional seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Teknologi Bahan Termaju Negara 2021–2030 yang menumpukan pembangunan bahan berteknologi tinggi.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial