KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meraih potensi pelaburan hijau bernilai RM7.3 bilion semasa Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pencapaian itu menunjukkan pengiktirafan modal global terhadap usaha Malaysia dalam membina ekosistem perindustrian mampan yang mencipta nilai kepada pelabur sambil membawa kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia.
Usaha ini turut disokong oleh Rangka Kerja Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Pelaburan Hijau yang berfungsi sebagai pelan tindakan Malaysia untuk merebut peluang daripada ekonomi hijau bernilai trilion dolar di Asia.
“Inilah cara kami menukar aspirasi sifar bersih kepada pertumbuhan positif bersih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MIDA, potensi pelaburan itu hanyalah permulaan kepada transformasi hijau Malaysia.
Dengan pusat data dan pengilang yang mencari penyelesaian tenaga mampan dan syarikat global menubuhkan hab hijau serantau, negara ini bersedia untuk menjadi hab utama tenaga hijau.
IGEM 2025 turut menyaksikan 38 sesi padanan perniagaan berimpak tinggi dan MIDA juga telah memeterai memorandum persefahaman dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan bernilai tinggi dan mampan.
“Kerjasama ini memanfaatkan rangkaian, kepakaran dan sumber kedua-dua organisasi untuk menarik pelaburan berkualiti yang memacu penerapan teknologi hijau serta amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) dan penyelesaian Industri 4.0,” katanya.
Sementara itu, inisiatif padanan perniagaan Biz Bridge oleh MIDA yang dianjurkan bersama Persatuan Industri Fotovoltaik dan Tenaga Mampan Malaysia (MPSEA), terbukti memainkan penting dalam menghubungkan pembekal tenaga hijau dan pihak pembeli jangka panjang, sekali gus mewujudkan pasaran yang kukuh bagi penjanaan tenaga boleh baharu dan pembangunan industri mampan.
Presiden MPSEA Justin Sim berkata kerjasama itu kekal sebagai faktor utama dalam mempercepatkan peralihan kepada tenaga bersih.
“Biz Bridge menyediakan platform berharga untuk pemain industri menjalin kerjasama yang mempercepatkan pelaksanaan teknologi hijau, menarik pelaburan mampan dan meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga bersih terkemuka di ASEAN,” katanya.
Sepanjang IGEM 2025, MIDA mempamerkan rangka kerja pemudah cara pelabur yang menyeluruh kepada pelabur berpotensi, mempromosikan pelaburan hijau di bawah Strategi Pelaburan Hijau menerusi tujuh teras strategik dan menekankan Elaun Cukai Pelaburan Hijau dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial