EKONOMI > BERITA

85 KONTRAKTOR BUMIPUTERA GRED G1 DAN G2 DIPILIH BAGI CABUTAN UNDI LAKSANA PROJEK PAKEJ KERJA KECIL ECRL

23/10/2025 07:43 PM

KOTA BHARU, 23 Okt (Bernama) -- Sebanyak 85 kontraktor bumiputera gred G1 dan G2 yang berdaftar di Kelantan, Terengganu dan Pahang dipilih untuk cabutan undi bagi melaksanakan pakej-pakej kerja kecil seperti pemasangan papan tanda, penyediaan perabot jalan, pemasangan pagar, serta kerja pengurusan landskap (turfing) di 15 stesen projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata langkah ini sekali lagi menzahirkan komitmen MRL dan ECRL untuk memperkukuh penyertaan kontraktor bumiputera tempatan, selain memastikan manfaat ekonomi projek tersebut dirasai secara langsung oleh masyarakat setempat.

"MRL dan ECRL telah memperteguh usaha dalam membolehkan nilai kontrak projek mega ini dan ia sedikit sebanyak memberi manfaat serta impak positif kepada kontraktor kecil bumiputera yang berkebolehan di sepanjang jajaran ECRL.

"Penglibatan kontraktror kecil bumiputera juga akan memperkasa bakat tenaga kerja mahir yang dapat memacu masa hadapan industri pembinaan di Malaysia serta menyokong kelangsungan kumpulan kontraktor bumiputera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam memastikan sebanyak mungkin nilai kontrak bagi kontraktor kecil bumiputera sehingga tamat fasa pembinaan, selari dengan hasrat kerajaan Persekutuan dan Negeri yang mengutamakan penyertaan kontraktor tempatan serta bumiputera dalam pembinaan projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km).

Terdahulu, Darwis turut menghadiri Majlis Cabutan Undi Pakej Kerja Sub Kontraktor Bumiputera G1 dan G2 dalam melaksanakan skop kerja yang bersesuaian di dua stesen ECRL di Kelantan yang disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal di pejabatnya di sini hari ini.

Bagi tujuan sama, majlis cabutan undi melibatkan enam stesen ECRL di Terengganu akan diadakan pada 29 Oktober di Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, manakala majlis cabutan undi merangkumi tujuh stesen ECRL di Pahang pula dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober di ECRL Basecamp KotaSAS.

Majlis cabutan undi melibatkan lima stesen ECRL di Selangor itu dijangka berlangsung menjelang akhir November tahun ini.

Pembinaan Projek ECRL telah mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 88.08 peratus setakat September tahun ini, sejajar dengan jadual penyiapan jajaran ECRL Fasa 1 dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak menjelang Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027. 

Jajaran ECRL Fasa 2 antara Gombak dan Pelabuhan Klang dijangka siap menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan