CYBERJAYA, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor menerusi Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bekerjasama dengan Artem Venture Fund untuk menubuhkan Dana Semikonduktor Selangor atau Ehsan Capital bagi memperkukuh usaha memperkasakan industri semikonduktor.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata Ehsan Capital yang menyasarkan saiz dana melebihi RM100 juta, akan mula beroperasi bulan ini dengan melabur kepada sekurang-kurangnya tujuh syarikat pemula niaga yang berpotensi tinggi dalam bidang reka bentuk dan teknologi semikonduktor tempatan.
"Penubuhan dana ini bukan sekadar satu instrumen kewangan, tetapi merupakan komitmen jangka panjang kerajaan negeri untuk melahirkan pakar tempatan dalam penyelidikan, pembangunan dan reka cipta teknologi agar Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi pencipta inovasi di rantau ini," katanya.
Beliau berucap demikian di Majlis Pelancaran Malaysia Semiconductor Integrated Circuit (IC) Design Park 2 di sini hari ini, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Amirudin berkata bidang semikonduktor merupakan antara bidang tumpuan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk Malaysia menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030.
"Dengan sokongan padu daripada Kerajaan MADANI melalui inisiatif ARM Design Token, syarikat (semikonduktor) ini berpotensi untuk berkembang pesat dan disenaraikan di bursa saham dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
"Langkah ini juga mampu meningkatkan keyakinan pelabur dan minat yang tinggi dalam kalangan komuniti modal teroka terhadap ekosistem semikonduktor Malaysia," kata beliau.
Melihat kepada pencapaian IC Design Park 1 di Puchong setakat ini, beliau berkata semakin banyak syarikat semikonduktor gergasi dunia menunjukkan minat untuk menempatkan operasi mereka di Malaysia Semiconductor IC Design Park.
“Namun begitu, ruang yang tersedia pada masa ini adalah terhad. Oleh itu, kita akan melangkah ke fasa baharu dengan pelancaran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di CoPlace 9 Cyberjaya yang bakal memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab utama industri semikonduktor negara.
“Fasa kedua ini akan menempatkan Pusat Ujian Cip Termaju (Advanced Chip Testing Centre) serta kemudahan latihan lanjutan di bawah Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM),” katanya.
Pusat Ujian Cip Termaju itu merupakan satu-satunya fasiliti bertaraf dunia di rantau ini yang dilengkapi dengan kemudahan dan perkhidmatan semikonduktor terkini merangkumi emulasi reka bentuk cip termaju, pembangunan prototaip cip, ujian pengesahan cip dan pengujian peranti termaju.
Selain itu, Amirudin berkata Selangor turut memperkenalkan dasar yang berpaksikan pembangunan ekonomi tempatan melalui Dasar Pembangunan Ekonomi Tempatan (LED) yang memberi tumpuan kepada industri pusat data.
Dasar itu menetapkan sasaran 30 peratus kandungan tempatan untuk setiap pelaburan pusat data baharu bagi memastikan syarikat tempatan, penyedia teknologi dan tenaga kerja Malaysia mendapat manfaat langsung daripada pertumbuhan industri digital.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial