EKONOMI > BERITA

KERAJAAN KENAL PASTI KAEDAH KURANGKAN IMPLIKASI KENAIKAN HARGA KENDERAAN TEMPATAN

06/11/2025 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Kerajaan sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengurangkan implikasi kenaikan harga kenderaan tempatan selaras dengan penguatkuasaan peraturan P.U.(A) 402/2019, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata kerajaan akan mengambil langkah mitigasi bagi meminimumkan kesan kepada rakyat.

“Kerajaan membuat pengumpulan data dan melaksanakan sesi libat urus bersama pihak industri bagi mendapatkan pandangan serta solusi kepada isu yang berbangkit,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai keputusan kerajaan sama ada meneruskan atau menangguhkan penguatkuasaan peraturan cukai eksais (P.U. (A) 402/2019) yang dijangka meningkatkan harga kenderaan sehingga 30 peratus bermula 2026.

Lim berkata pada ketika ini, pengecualian ke atas pelaksanaan peraturan P.U.(A) 402/2019 diberikan eksklusif untuk pengilang bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sahaja.

“Pengecualian ini diputuskan susulan daripada kebimbangan pihak industri automotif tempatan mengenai kenaikan harga kenderaan secara mendadak kesan dari penguatkuasaan peraturan tersebut dan bagi membolehkan industri bersedia dengan pelaksanaan peraturan P.U.(A) 402/2019 kelak,” katanya. 

Bagaimanpun, Lim berkata berhubung kesan pelaksanaan peraturan ini kepada peningkatan harga, ia masih belum dapat dipastikan memandangkan model perniagaan syarikat CKD berbeza antara satu sama lain menyebabkan berlakunya ketidakseragaman kenaan duti eksais ke atas kenderaan yang dikilang.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan