Daripada Amanina Mohamad Yusof
SHANGHAI, 6 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM150 juta di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Shanghai (MIHAS@Shanghai) 2025 menerusi penglibatan 16 usahawan di bawahnya yang menyertai pameran antarabangsa itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW Datuk Abdul Kahar Abdullah berkata sasaran itu mampu dicapai kerana 16 syarikat yang dipilih menyertai pameran itu terdiri daripada usahawan Program Gate to Global Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan usahawan dari agensi serta Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) di bawah KKDW, memenuhi kriteria ditetapkan untuk menembusi pasaran eksport.
“Antara kriteria yang mereka perlu penuhi ialah usahawan desa atau syarikat mempunyai produk yang berpotensi dan berada pada tahap bersedia untuk eksport; mempunyai sijil halal, Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Amalan Perkilangan Baik (GMP) serta mempunyai kapasiti dari segi pengeluaran untuk memenuhi potensi perniagaan yang bakal diperoleh,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di MIHAS@Shanghai di sini hari ini.
Abdul Kahar berkata tiga usahawan tempatan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dengan syarikat pengedar atau pembeli dari China dengan nilai jualan berjumlah RM55.5 juta melibatkan produk seperti sarang burung, makanan kesihatan dan rempah perencah.
Antara syarikat berkenaan ialah Blue Sky Bird Nest Sdn Bhd, Zinon Food Industry Sdn Bhd dan Agym Nutrition Sdn Bhd.
Mengulas lanjut, beliau berkata program Gate to Global di bawah KKDW dibangunkan untuk membantu usahawan desa memasarkan produk mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Salah satu teras perniagaan KKDW adalah pembangunan usahawan. Justeru, program Gate to Global adalah program untuk kita mengetengahkan usahawan-usahawan dari Malaysia supaya mereka dapat menembusi pasaran antarabangsa.
“Usahawan-usahawan dipilih adalah mereka yang mempunyai produk berkualiti, mencapai piawaian antarabangsa dan juga mempunyai kapasiti sebab apa yang KKDW mahu...bila ada dapat pesanan, mereka mampu untuk membekalkan pesanan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan sentiasa bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam memastikan usahawan di bawah bimbingan agensi itu berjaya menembusi pasaran luar negara.
“KKDW tidak mahu lagi usahawan Bumiputera hanya berlegar sekitar menjadi “jaguh kampung” (hanya handal berniaga di Malaysia) tetapi kita mahu mereka menjadi pemain global di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama MARA dengan MATRADE penting kerana agensi yang mempromosikan perdagangan antarabangsa seperti MATRADE ini akan memainkan peranan besar untuk memastikan mereka menyediakan platform berterusan kepada usaha MARA (membantu usahawan ke pasaran global) melalui program khusus Gate to Global,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata selain Asia Tenggara, usahawan di bawah MARA telah berjaya menembusi pasaran Jepun, China, Korea Selatan, Dubai, Kazakhstan, India, Kanada, Australia, Switzerland, Jerman dan juga Itali.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial