KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan senarai penting dan insentif penyetempatan untuk memperkukuh rantaian bekalan automotif domestik dan memperluas peluang eksport bagi menyokong vendor tempatan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata bagi menggalakkan pembangunan ekosistem pembuatan kenderaan elektrik (EV) Malaysia, rangka kerja pengecualian cukai EV sedia ada dijadualkan sehingga 31 Disember, 2025 sedang diselaraskan dengan usaha lebih luas untuk operasi pemasangan tempatan dan penyetempatan alat ganti.
“Peralihan strategik ini bertujuan untuk memperkukuh penyertaan industri dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan serantau.
“Juara kebangsaan kita (pengeluar kenderaan nasional) sedang mencapai kemajuan kukuh memandangkan program EV Perodua berada di landasan yang betul, manakala Proton baru-baru ini melancarkan e.MAS 5, memberikan isyarat jelas mengenai keupayaan dan cita-cita industri kami,” katanya semasa perasmian Ekspo Teknologi Automotif Global (GATE) 2025 yang julung kali diadakan hari ini.
Tengku Zafrul menekankan bahawa sektor automotif merupakan salah satu tonggak industri terpenting Malaysia.
“Malah, Malaysia memegang kedudukan nombor satu pasaran kenderaan di Asia Tenggara pada separuh pertama 2025, mendahului negara-negara serantau.
“Malaysia bersedia untuk merebut peluang untuk mobiliti masa depan dengan asas semikonduktor kukuh, sumber nadir bumi yang banyak dan ekosistem pembuatan matang,” katanya.
Dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Derrisen Sdn Bhd, GATE 2025 menghimpunkan pengeluar peralatan asli global, pembekal dan inovator teknologi di bawah satu bumbung.
Dengan GATE 2025, Malaysia memperkukuh kepimpinannya dalam masa depan mobiliti rantau ini, membentuk gelombang inovasi seterusnya dalam teknologi automotif dipacu kecerdasan buatan (AI) dan mobiliti pintar mampan untuk ASEAN.
Tengku Zafrul turut menekankan bahawa visi di sebalik GATE 2025 seiring sepenuhnya dengan agenda transformasi perindustrian kerajaan di bawah rangka kerja MADANI Malaysia.
“Menerusi acara seperti GATE, Malaysia sedang memperkukuh kedudukannya sebagai hab pembuatan termaju dan mobiliti yang mampan, pada masa sama menyokong komitmen kami untuk membina ekonomi yang berdaya tahan, inklusif dan bersedia untuk masa depan.
“Momentum yang kita lihat di GATE 2025 menunjukkan kekuatan dan keazaman ekosistem perindustrian Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial