EKONOMI > BERITA

KEPUTUSAN MAHKAMAH AS AKAN TENTUKAN LANGKAH MALAYSIA SELANJUTNYA - TENGKU ZAFRUL 

13/11/2025 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) mengenai kesahan tarif Presiden AS Donald Trump akan menentukan langkah Malaysia yang seterusnya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya keputusan berkenaan memberi kesan negatif kepada Malaysia.

"Apabila kita memeterai sesuatu perjanjian, kita perlu mempunyai niat yang betul. Oleh itu, sekiranya strategi kita untuk menandatangani perjanjian, tetapi mahu meratifikasinya kemudian, atau menunggu sesuatu perkara lain yang di luar kawalan kita, itu bukan tindakan yang jujur.

“Sebagai kerajaan Malaysia, jika kita telah memberikan komitmen, kita perlu menunjukkan komitmen itu. Sekiranya tidak, kredibiliti kita akan terjejas.

“Oleh itu, katakan Mahkamah Persekutuan meluluskan keputusan itu, dan perkara itu dibawa ke Kongres... beliau ialah presiden dan mempunyai kuasa eksekutif. Kita akan menunggu sehingga Kongres bersidang,” katanya pada sidang media mengenai prestasi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi suku ketiga  2025 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai implikasi keputusan mahkamah AS dan sama ada akan berlaku kelewatan untuk meratifikasi perjanjian Malaysia-AS.

Tengku Zafrul berkata Malaysia melihat potensi pertumbuhan yang besar dalam sektor semikonduktor dan komited untuk mendorong hasil yang menggalakkan dalam rundingan Seksyen 232 yang sedang dijalankan dengan AS mengenai sektor kritikal.

Menurut MITI, AS akan memberi pertimbangan khas kepada sektor semikonduktor Malaysia dalam rundingan tarif di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan AS 1962.

“Buat masa ini, sebanyak 1,711 eksport Malaysia ke AS akan menikmati sifar tarif di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang ditandatangani antara Malaysia dan AS. (Semikonduktor tidak termasuk dalam senarai 1,711 ini) tetapi tarif kekal sifar buat masa ini (bagi semikonduktor).

“Secara jujurnya, di bawah Seksyen 232, masih ada (kemungkinan kepada) rundingan. Masih ada semakan dan kajian bagaimana ia memberi kesan kepada keselamatan ekonomi AS. Tetapi bagi pihak kita, kita akan terus mengadakan libat urus dengan AS. Pemeteraian ART membuka peluang yang lebih baik kepada rundingan mengenai semikonduktor,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Malaysia akan mengutamakan pembukaan pasaran baharu selaras dengan Belanjawan 2026 apabila kerajaan menaikkan Geran Pembangunan Pasaran sebanyak 100 peratus untuk menyokong syarikat Malaysia ke pasaran luar negara melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Menurutnya Malaysia berhasrat untuk memperluas operasi dalam pasaran sedia ada terutama di Amerika Latin dan Afrika memandangkan syarikat Malaysia telah mempunyai kedudukan yang kukuh di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan