EKONOMI > BERITA

LAPORAN SUKU KETIGA MITI: EKSPORT KUKUH, PELABURAN DIGITAL CATAT PERTUMBUHAN

13/11/2025 07:07 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang kukuh, dengan eksport dan pelaburan digital masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif berlandaskan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata eksport elektrik dan elektronik mencatatkan peningkatan ketara apabila meningkat sebanyak 16.7 peratus tahun ke tahun bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata sektor eksport lain juga merekodkan peningkatan iaitu sektor jentera, peralatan dan alat ganti menambah sebanyak 14.4 peratus tahun ke tahun, produk farmaseutikal melonjak sebanyak 24.7 peratus manakala peralatan optik dan saintifik naik sebanyak 5.1 peratus tahun ke tahun.

“Kesemuanya menunjukkan pertumbuhan positif, yang membuktikan kita menuruti dasar dan mengubahnya menjadi tindakan,” katanya semasa membentangkan prestasi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi suku ketiga 2025 di sini, hari ini.

Bagi sektor perkhidmatan, jumlah perdagangan perkhidmatan adalah sebanyak RM497.4 bilion pada 2024, meningkat 14.6 peratus tahun ke tahun daripada angka pada 2023, katanya.

Beliau berkata eksport perkhidmatan meningkat 24.6 peratus tahun ke tahun kepada RM242.9 bilion manakala import perkhidmatan naik 6.5 peratus tahun ke tahun kepada RM254.5 bilion.

Imbangan perdagangan perkhidmatan juga menunjukkan peningkatan ketara, dengan defisit mengecil kepada RM11.7 bilion daripada RM44 bilion pada 2023, didorong oleh sektor pelancongan dan perkhidmatan perniagaan.

Tengku Zafrul berkata untuk mengurangkan defisit dan meningkatkan eksport, Malaysia perlu menumpukan kepada sektor berpotensi tinggi seperti pelancongan (termasuk pelancongan kesihatan), pembuatan, perkhidmatan profesional dan perundingan, serta sektor pembinaan audiovisual dan kewangan.

Beliau berkata pelaburan digital menunjukkan trend peningkatan sejak 2021, dengan  pelaburan yang diluluskan antara 2021 hingga separuh pertama 2025 adalah bernilai RM335.3 bilion.

Selain itu, sebanyak 105,486 peluang pekerjaan telah diwujudkan melalui pelaburan digital, dengan projek berkaitan pusat data membentuk RM235.1 bilion (70.1 peratus) daripada jumlah pelaburan digital yang diluluskan.

Mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), beliau berkata zon ekonomi itu mewakili 66.2 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan di Johor bernilai RM56 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan