Daripada M. Saraswathi
JOHANNESBURG, 21 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memulakan hari kedua lawatan rasminya di sini dengan pertemuan dua hala dengan Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa.
Beliau juga dijadual menghadiri forum perniagaan bersama kapten-kapten industri Afrika Selatan.
Perdana Menteri akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Houghton, Johannesburg serta mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Islam Afrika Selatan sebelum itu.
Dalam pada itu, beliau akan turut bertemu diaspora Malaysia di sini.
Perdana Menteri juga dijadual bertemu dengan Naib Presiden Botswana Ndaba Nkosinathi Gaolathe.
Anwar tiba di Afrika Selatan pada jam 6.38 petang waktu tempatan pada Khamis (Jumaat, 12.38 pagi waktu Malaysia) untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20).
Lawatan kerja empat hari dari 20 hingga 23 November ke Afrika Selatan adalah untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg sebagai tetamu Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa.
Perdana Menteri diundang menghadiri sidang kemuncak G20 yang bermula 22 sehingga 23 November itu atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Zaliha Mustafa, pegawai kerajaan Malaysia serta delegasi perniagaan.
Malaysia berada enam jam di hadapan berbanding waktu tempatan di Johannesburg.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial