SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama) -- Sebanyak 948 projek pelaburan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan bernilai RM34.65 bilion telah diluluskan kerajaan Selangor bagi tempoh Januari hingga Jun 2025.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata daripada jumlah itu, pelaburan tempatan menyumbang sebanyak RM18.91 bilion manakala pelaburan asing mencatatkan nilai RM15.74 bilion.
“Ini menunjukkan keyakinan yang seimbang daripada pelabur domestik dan antarabangsa,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid (PH-Batu Tiga) yang ingin mengetahui mengenai sektor pelaburan paling aktif diterima Selangor pada 2025 dan jangkaan pada 2026.
Mengulas lanjut, Ng berkata pecahan pelaburan itu menunjukkan sektor perkhidmatan merupakan pemacu utama dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM26.3 bilion manakala RM8.3 bilion daripada sektor perkilangan setakat suku kedua 2025.
Beliau berkata bagi sektor perkhidmatan, subsektor maklumat dan komunikasi (ICT) mendominasi dengan pelaburan RM11.4 bilion, diikuti industri pembangunan (hartanah) sebanyak RM9.3 bilion.
“Bagi sektor perkilangan, subsektor peralatan pengangkutan mencatatkan jumlah tertinggi RM2.25 bilion, diikuti elektrik dan elektronik sebanyak RM2 bilion.
“Trend ini dijangka berterusan, dengan jangkaan bahawa sektor elektrik dan elektronik (perkilangan) dan ICT (perkhidmatan) akan kekal sebagai sektor paling aktif pada 2026,” katanya.
Bagi menyokong momentum kemasukan pelaburan, Ng berkata kerajaan negeri melaksanakan pelbagai langkah pemudahcaraan terutamanya dalam mempercepat proses kelulusan pembangunan termasuk pengenalan inisiatif baharu, Speed Selangor.
Beliau berkata objektif utama Speed Selangor ialah menyeragam, mempercepat dan memudah cara proses kelulusan pembangunan serta pelesenan perniagaan di setiap pihak berkuasa tempatan.
“Inisiatif ini selaras dengan prinsip Kemudahan Menjalankan Perniagaan yang menekankan kecekapan, ketelusan dan amalan mesra pelabur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial