EKONOMI > BERITA

ANUGERAH KECEMERLANGAN HALAL DUNIA TINGKAT DAYA SAING MALAYSIA DI PASARAN HALAL US$5 TRILION

08/12/2025 03:47 PM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

KOTA TINGGI, 8 Dis (Bernama) -- Kepimpinan Malaysia dalam ekosistem halal global terus diperkukuh melalui Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2024 (WHEA 2024), sekali gus meningkatkan lagi daya saing negara dalam pasaran halal global yang berkembang pesat dan diunjurkan mencecah US$5 trilion (US$1 = RM4.10) menjelang 2030.

Dianjurkan oleh Halal Development Corporation Bhd (HDC), anugerah itu yang memasuki edisi ke-16 mengiktiraf 29 organisasi dan tiga individu atas sumbangan mereka dalam memajukan standard halal, inovasi dan pembangunan industri.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Desaru di sini malam tadi, anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan disaksikan Pemangku Pengerusi HDC Datuk Azhari Shaari.

Pada majlis itu, Onn Hafiz berkata penganjuran acara berprestij itu di Johor menunjukkan peranan negeri berkenaan yang semakin berkembang dalam memajukan ekosistem halal Malaysia.

Beliau berkata Johor terletak secara strategik sebagai pintu masuk utama perdagangan halal global, disokong oleh Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Pasir Gudang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang menghubungkan pasaran halal di Asia, Timur Tengah dan Eropah.

“Penganjuran WHEA mengukuhkan lagi kekuatan ini dengan menunjukkan komitmen Johor dalam memperkukuh kecemerlangan halal, memacu inovasi industri dan meningkatkan ketersambungan pasaran global,” katanya ketika berucap di majlis penganugerahan itu.

Sementara itu, Azhari berharap pengiktirafan daripada anugerah itu akan membantu syarikat mengembangkan perniagaan mereka melangkaui pasaran tempatan ke pasaran antarabangsa, di samping memberi inspirasi kepada pemain industri halal yang lain untuk berusaha mencapai pengiktirafan yang sama.

“Pengiktirafan ini memberi nilai tambah kepada syarikat dan produk mereka, memberi kelebihan dalam mempromosikan produk dan meningkatkan keterlihatan mereka di pasaran tempatan dan global,” kata beliau.

Azhari berkata HDC juga memastikan standard dan proses penilaian WHEA kekal telus, adil dan relevan sejajar dengan perkembangan pesat dalam industri halal masa kini.

Beliau berkata anugerah itu bukan sahaja mengukuhkan ekosistem halal, tetapi juga meningkatkan daya saing, integriti pensijilan dan memacu pertumbuhan ekonomi halal yang mampan untuk kepentingan industri dan rakyat.

“Pada tahun ini, penglibatan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kriteria penilaian untuk anugerah ini menekankan lagi bagaimana pengurusan alam sekitar, impak sosial dan tadbir urus yang baik telah menjadi tonggak penting dalam industri halal global,” katanya.

Azhari menambah Malaysia akan terus mencapai kemajuan dalam industri halal, disokong oleh komitmen HDC untuk memajukan agenda itu yang sejajar dengan sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank Bhd Dafinah Ahmed Hilmi ketika ditemukan selepas acara itu berkata bank berkenaan amat berbesar hati dan merasa rendah diri untuk menerima Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam.

“Anugerah ini mengesahkan visi strategik dan kerja keras seluruh pasukan kami, yang telah memperjuangkan sektor halal sebagai bidang pertumbuhan utama untuk bank dan negara,” katanya.

Ketua Penjenamaan dan Pembangunan Produk Jasmine Food Corporation Farhan Hafetz berkata Anugerah Kecemerlangan Platform Digital yang diterima itu akan terus mengukuhkan lagi komitmen syarikat terhadap sektor halal negara.

“Walaupun kami merupakan syarikat beras, halal bukan sahaja berkaitan dengan cara makanan disembelih atau disediakan. Ia merangkumi keseluruhan aspek terutamanya dalam mengekalkan kualiti produk kami,” katanya.

Pemenang Anugerah Kecemerlangan Usahawan Belia yang juga Pengasas Muiz Hot Chicken Muhamad Muizzudin Remle berkata anugerah itu diharap dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk berjaya.

“Saya menggalakkan usahawan yang berusaha untuk berjaya supaya tidak berputus asa dan merebut peluang yang ditawarkan, termasuk yang disediakan oleh kerajaan negeri, yang secara konsisten memberikan sokongan,” katanya.

WHEA 2024 juga menyaksikan bekas Mufti Johor Datuk Dr Nooh Gadot menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Halal, manakala kerajaan negeri Johor menerima Anugerah Kecemerlangan Prestasi Halal Negeri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan