EKONOMI > BERITA

PENDAPATAN GAMUDA NAIK LIMA PERATUS PADA SUKU PERTAMA DIPACU PRESTASI DOMESTIK YANG KUKUH, UMUM DIVIDEN LIMA SEN

10/12/2025 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Gamuda Bhd mencatat peningkatan lima peratus dalam pendapatannya kepada RM215 juta bagi suku pertama berakhir 31 Okt, 2025 (S1 TK2026) daripada RM205 juta pada tahun lalu, terutamanya didorong oleh sumbangan yang kukuh daripada projek pembinaan domestik.

Gamuda berkata pendapatan itu juga disokong oleh pelaksanaan projek pemulihan cepat (QTP) yang berjaya di Vietnam.

“Hasil daripada pembinaan pada suku tahunan adalah mendatar disebabkan kelewatan dalam beberapa kontrak domestik baharu, manakala beberapa projek di Australia hampir siap.

"Keuntungan bersih daripada pembinaan meningkat 10 peratus disebabkan pendapatan yang lebih kukuh daripada kontrak pembinaan domestik yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Gamuda mengumumkan dividen interim lima sen sesaham, tidak berubah berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pada masa hadapan, kumpulan itu menjangkakan prestasi pendapatan tahun ini akan dipacu terutamanya oleh projek pembinaan domestik baharu yang diraih, termasuk pembinaan beberapa pusat data dan sumbangan yang lebih tinggi daripada pelbagai QTP hartanah di Vietnam.

Gamuda menambah daya tahan kumpulan itu disokong oleh baki nilai perolehan kontrak hartanah dalam tangan sebanyak RM37 bilion dan jualan hartanah tidak dibilkan sebanyak RM8 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan