EKONOMI > BERITA

U MOBILE SEDIA KEMUDAHAN RANGKAIAN 5G GENERASI SETERUSNYA DI 20 HARTANAH IGB

10/12/2025 08:07 PM

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- U Mobile akan melaksanakan perkhidmatan rangkaian 5G generasi seterusnya di 20 hartanah IGB Bhd (IGB) di negara ini, sekali gus menjadikannya kerjasama liputan 5G terbesar dalam bangunan (IBC), setakat ini.

Menerusi kenyataannya hari ini, syarikat telekomunikasi itu berkata 20 hartanah IGB berkenaan, termasuk pusat beli-belah ikonik seperti Mid Valley Megamall, The Gardens Mall in Kuala Lumpur dan The Mall, Mid Valley Southkey di Johor Bahru.

“Kesemua 20 hartanah itu menyumbang lebih daripada 70 peratus lokasi dengan aliran trafik atau pergerakan tinggi yang merangkumi segmen runcit, komersial dan hospitaliti di Malaysia.

“Apabila dilaksanakan, IGB dapat meraih manfaat daripada kelancaran ketersambungan 5G untuk meningkatkan pengurusan serta operasi bangunan selain pengalaman digital bagi kalangan penyewa serta pelanggan,” katanya.

IGB memiliki serta mengendalikan portfolio meluas gedung beli-belah, hotel dan pembangunan kediaman di serata negara.

Menurut kenyataan itu, kerjasama berkenaan akan turut merangkumi langkah U Mobile menyediakan akses 5G dalam bangunan di semua hartanah berkenaan kepada syarikat telekomunikasi lain agar pelanggan masing-masing dapat menikmati ketersambungan mudah alih berkelajuan tinggi di serata aset IGB itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Kenneth Chang berkata sejajar dengan komitmen syarikat itu menyokong kemajuan digital Malaysia secara meluas, U Mobile akan turut menawarkan liputan 5G dalam bangunan kepada syarikat telekomunikasi lain.

Ini juga berdasarkan keyakinan bahawa pelanggan syarikat telekomunikasi itu mempunyai keinginan sama untuk mendapatkan pengalaman ULTRA5G yang disediakan oleh rangkaian 5G generasi seterusnya.

“Kerjasama itu adalah permulaan kepada lebih lebih banyak usaha serupa bagi pelaksanaan rangkaian terbabit, sama ada dalam dan luar bangunan yang akan diusahakan merentasi pelbagai sektor lain pada bulan-bulan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IGB Tan Mei Sian pula menyifatkan kerjasama dengan U Mobile itu sebagai langkah strategik yang tidak hanya kalis masa depan merentasi segmen runcit, komersial serta hospitaliti, malah turut meletakkan syarikat dalam hala tuju tepat memastikan perniagaan seiringan dengan agenda transformasi digital negara.

“Kerjasama ini juga menjadi pencapaian penting dalam memastikan pengalaman terbaik dinikmati di dalam hartanah kami yang menjadi jangkaan asas di serata pembangunan bertaraf dunia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan