KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia berjaya menarik pelaburan bernilai RM54.9 bilion serta penubuhan enam syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) pada separuh pertama 2025, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menerusi jawapan bertulis di laman portal Dewan Negara hari ini, kementerian itu berkata NSS turut mencapai kemajuan penting dengan melahirkan sebanyak 13,679 jurutera dan pekerja mahir selain mewujudkan sejumlah 25,430 pekerjaan.
Pada masa sama, MITI juga menyifatkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menunjukkan perkembangan kukuh dengan nilai tambah sektor pembuatan meningkat 3.7 peratus kepada RM96.9 bilion pada separuh pertama 2025 berbanding RM93.4 bilion pada tahun sebelumnya.
“Guna tenaga bertambah sebanyak 0.9 peratus kepada 2.85 juta pekerja dalam sektor pembuatan berbanding 2.83 juta dan gaji penengah meningkat 5.4 peratus kepada RM2,490 pada 2024 daripada RM2,360 pada 2023.
“Ini mencerminkan pertumbuhan industri yang positif serta peluang pekerjaan dan upah yang semakin baik," katanya bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan berhubung pelan-pelan hala tuju ekonomi utama Kerajaan MADANI.
MITI berkata Strategi Pelaburan Hijau (GIS) juga mencatat hasil yang menggalakkan dengan menarik sebanyak RM25.4 bilion pelaburan dan mewujudkan 9,866 peluang pekerjaan dalam sektor hijau.
"Secara kolektif, pelan-pelan hala tuju ini telah mewujudkan naratif dasar yang kukuh, stabil dan selaras antara aspek industri, tenaga, inovasi teknologi dan pelaburan.
“Penjajaran dasar yang konsisten itu juga memberi keyakinan kepada pelabur bahawa Malaysia bukan setakat mempunyai visi ekonomi yang jelas, tetapi turut memiliki kemampuan untuk melaksanakan dasar berkenaan secara efektif," kata kementerian itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial