EKONOMI > BERITA

PELABUR ASING KEKAL SEBAGAI PEMBELI BERSIH DI BURSA MALAYSIA

09/02/2026 11:57 AM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut, mencatatkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM15.0 juta, hampir sama dengan RM12.8 juta dicatatkan seminggu sebelumnya, kata MBSB Investment Bank Bhd.

MBSB Investment Bank Bhd dalam laporan aliran dananya berkata bagi minggu berakhir 6 Februari 2026, pelabur asing hanya menjadi pembeli bersih pada satu daripada empat hari dagangan, walaupun aktiviti dagangan rendah disebabkan oleh cuti Thaipusam, satu-satunya aliran masuk direkodkan pada Jumaat (RM132.3 juta).

Aliran keluar terbesar berlaku pada Khamis iaitu RM64.8 juta, manakala Rabu dan Selasa menyaksikan aliran keluar, masing-masing sebanyak RM26.8 juta dan RM25.8 juta.

“Tiga sektor utama mencatatkan aliran masuk asing bersih adalah perkhidmatan kewangan (RM162 juta), perladangan (RM37 juta) dan pembinaan (RM34.2 juta).

“Institusi tempatan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM36.2 juta selepas dua minggu berturut-turut pembelian bersih, manakala peruncit tempatan bertukar menjadi pembeli bersih selepas sembilan minggu berturut-turut jualan bersih, mencatatkan aliran masuk bersih RM21.2 juta,” tambahnya.

MBSB berkata purata jumlah dagangan harian menurun secara meluas dengan peruncit tempatan merosot 19.7 peratus, institusi tempatan turun 17.7 peratus, dan pelabur asing berkurangan 23.5 peratus.

Di peringkat serantau, pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka kepada minggu ketiga berturut-turut berjumlah AS$9.84 bilion, jualan tertumpu di Korea Selatan, Taiwan, Vietnam dan Indonesia, manakala pasaran lain yang dijejaki mencatatkan aliran masuk asing bersih, diterajui oleh India, Thailand, Filipina dan Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan