KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- CIMB Group Holdings Bhd dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd, akan membangunkan instrumen inovatif bagi memacu pasaran modal Islam Malaysia, selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 SC.
Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB Group berkata kerjasama di bawah projek rintis Makmal Inovasi ICM SC, bertujuan memperluaskan peluang pelaburan bagi dana patuh syariah dan menyokong penyertaan dalam pertumbuhan perbankan Islam ASEAN.
“Kerjasama ini sejajar dengan strategi Forward30 CIMB, apabila kewangan Islam menjadi keutamaan enjin pertumbuhan utama yang berlandaskan skala, inovasi dan kemampanan.
“Memandangkan CMP menekankan kepada inovasi, daya tahan dan daya saing antarabangsa, kerjasama proaktif CIMB menggariskan peranannya bukan sahaja sebagai peserta pasaran, tetapi sebagai penyumbang kepada fasa seterusnya dalam evolusi pasaran modal di Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Novan Amirudin berkata CMP melakarkan hala tuju yang bercita-cita tinggi untuk pasaran modal Malaysia, dan CIMB menyokong SC dalam merealisasikan visi itu.
“Penyertaan CIMB mencerminkan advokasi berterusan kami dalam pasaran modal dan inovasi digital.
“Francais Islam kami telah mencapai skala bermakna, dan kami melihat peluang yang ketara untuk terus memanfaatkan nilai ini dengan menyediakan struktur patuh syariah baharu kepada pelabur dengan mandat syariah,” katanya.
Bank itu berkata, berpandukan tujuannya untuk memajukan pelanggan dan masyarakat, kumpulan itu terus mengembangkan francais perbankan Islamnya sebagai tonggak pertumbuhan teras.
Tambahnya, hari ini, lebih separuh buku pembiayaannya di Malaysia adalah patuh syariah, manakala CIMB Niaga di Indonesia sedang dalam proses memisahkan perniagaan perbankan Islamnya untuk menjadi bank Islam sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial