KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Sistem kewangan Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025, disokong persekitaran pengawalseliaan yang berhemat dan teguh, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata usaha tertumpu kepada empat bidang utama iaitu melaraskan rangka kerja pengawalseliaan dengan piawaian antarabangsa dan pada masa yang sama menyesuaikannya dengan keperluan setempat, dan memperkukuh keupayaan institusi kewangan untuk mengurus gangguan operasi dalam persekitaran yang semakin berorientasikan digital dan saling terhubung.
Ia juga menambah baik amalan pengurusan risiko untuk membina daya tahan terhadap risiko yang semakin berkembang seperti penipuan, ancaman siber dan perubahan iklim, serta memupuk amalan yang bertanggungjawab dan pengurusan perniagaan dengan piawaian yang tinggi untuk memastikan hasil yang adil kepada pengguna.
Bagi memastikan institusi kewangan kekal utuh dan bersedia untuk menghadapi kejutan, BNM meneruskan usaha untuk melaraskan rangka kerja pengawalseliaan dengan piawaian Basel III.
"Ini seterusnya melindungi pendeposit dan menyokong keyakinan terhadap sistem kewangan," jelas BNM dalam Laporan Tahunan 2025/Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2025/ Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 yang dikeluarkan hari ini.
Pada 2025, BNM telah mengeluarkan tiga Draf Dedahan (Exposure Draft), iaitu Rangka Kerja Kecukupan Modal (Semakan Pendekatan Berasaskan Penarafan Dalaman bagi Risiko Kredit) (Capital Adequacy Framework (Internal Ratings-Based Approach for Credit Risk), IRB), Rangka Kerja Kecukupan Modal (Risiko Kredit Rakan Niaga) (Capital Adequacy Framework (Counterparty Credit Risk), CCR) dan Risiko Kadar Faedah dalam Buku Perbankan (Interest Rate Risk in the Banking Book, IRRBB), bagi menambah baik cara bank-bank mengukur dan menguruskan risiko.
Dengan penggunaan teknologi digital dan sistem perkongsian (shared system) secara lebih meluas, BNM telah mengemas kini keperluan Pengurusan Risiko dalam Teknologi (Risk Management in Technology, RMiT), bertujuan memperkukuh keselamatan IT dan daya tahan terhadap ancaman siber yang semakin berkembang, gangguan sistem dan pencerobohan data.
BNM telah mempergiat usaha untuk memperkukuh kepercayaan antara institusi kewangan dengan pengguna melalui dasar yang telah disemak, di mana penyedia perkhidmatan kewangan tidak lagi boleh menggunakan kadar rata2 (flat rate) dan/ atau kaedah Peraturan 78 untuk pengiraan faedah atau keuntungan bagi pembiayaan peribadi.
"Ini bermakna pengguna hanya membayar faedah atau keuntungan atas baki pembiayaan yang masih terhutang dan tidak lagi dikenakan caj berlebihan apabila membuat bayaran balik lebih awal," katanya.
Sekatan yang sama terhadap penggunaan kadar rata dan/ atau kaedah Peraturan 78 juga akan terpakai pada pembiayaan sewa beli yang ditawarkan oleh penyedia pembiayaan sewa beli apabila Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang baru digubal mula berkuat kuasa pada 1 Jun, 2026.
Dalam ruang pembayaran digital, BNM turut mengemas kini peraturan kad pembayaran bagi memberi pemegang kad kawalan yang lebih besar terhadap keselamatan kad pembayaran mereka.
"BNM juga merancang untuk menetapkan peraturan lebih kukuh mengenai cara institusi kewangan bertindak balas terhadap penipuan, dengan memberikan tumpuan pada komunikasi yang jelas dan berkesan dengan pemegang akaun.
"Langkah-langkah ini akan membantu meningkatkan penyelarasan dan mempercepat tindakan menyeluruh pada peringkat industry," jelas BNM.
Selain itu, kelulusan Akta Kredit Pengguna 2025 (Consumer Credit Act 2025, CCA)5 menandakan pembaharuan perundangan penting yang bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna dan menyelaras pengawalseliaan kredit pengguna.
Bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi krisis, bank pusat itu berkata bank-bank perlu melakukan analisis yang lebih mendalam terhadap kebolehlaksanaan pilihan pemulihan mereka serta perancangan senario yang lebih terperinci untuk mencerminkan peristiwa tekanan dunia sebenar.
Dalam pada itu, BNM telah melaksanakan 284 tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan termasuk mengenakan penalti monetari berjumlah RM15.9 juta, kebanyakkannya berkaitan dengan pencegahan pengubahan wang haram, pengurusan risiko teknologi, piawaian kehematan dan dasar pertukaran asing.
"BNM telah mengambil tindakan terhadap sembilan bank yang gagal memenuhi jangkaan pengawalseliaan yang ditetapkan, termasuk mengenakan penalti berjumlah RM5.6 juta," kata BNM.
Bank pusat itu juga terus mendukung ketelusan melalui penerbitan tindakan penguatkuasaan di laman sesawang BNM untuk mencegah salah laku pada masa hadapan, mencerminkan pendirian sifar toleransi BNM terhadap ketidakpatuhan yang serius.
Bagi 2026 dan seterusnya, BNM berkata ia akan terus menyelaras piawaian kehematan dengan amalan terbaik global, dan pada masa yang sama menyesuaikannya dengan persekitaran kewangan Malaysia yang unik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial